JAKARTA: Seramai 4,576 anggota keselamatan dikerahkan bagi mengawal beberapa siri protes yang dirancang oleh kumpulan pelajar universiti dan pertubuhan masyarakat sivil di beberapa lokasi sekitar Jakarta.
Jurucakap Polis Jakarta, Inspektor Satu Erlyn Sumantri, berkata anggota yang dikerahkan merangkumi pegawai Polis Metropolitan Jakarta, unit polis daerah dan balai polis setempat, dengan sokongan pasukan perkhidmatan demonstrasi awam di Jakarta Pusat.
"Ribuan anggota gabungan dikerahkan hari ini bagi memastikan semua demonstrasi awam di seluruh Jakarta berlangsung dengan selamat, teratur dan aman," katanya.
Di kawasan Gambir dan Monumen Nasional (Monas), pasukan keselamatan ditempatkan di bahagian Cawan Selatan Monas menjelang protes oleh East Jakarta Community Alliance dan kumpulan lain bermula pada jam 10 pagi, hari ini.
Di kompleks Dewan Perwakilan Rakyat dan Majlis Permusyawaratan Rakyat, anggota ditugaskan untuk mengawal demonstrasi oleh Jakarta Alliance of Students and Youth Concerned for Indonesia, yang turut bermula jam 10 pagi.
Berhampiran Kementerian Kewangan, polis mengadakan taklimat kesiapsiagaan menjelang protes oleh cawangan Jakarta Selatan Pergerakan Pelajar Islam Indonesia. Demonstrasi itu bermula jam 1 petang.
Erlyn menggesa kumpulan penunjuk perasaan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa ketika menggunakan hak untuk menyuarakan pendapat di khalayak ramai serta membantu mengekalkan ketenteraman awam.
Pengguna jalan raya yang melalui kawasan terjejas dinasihat menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan lalu lintas akibat demonstrasi terbabit.
Beberapa hari kebelakangan ini, pelajar mengadakan protes di Jakarta bagi menuntut langkah meningkatkan taraf hidup susulan pelarasan harga bahan api bukan bersubsidi serta gesaan memperkukuh usaha anti-rasuah.
Berkaitan penempatan tentera, jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI), Brig Jen Muhamad Nas, berkata kehadiran tentera di lokasi demonstrasi di Jakarta Pusat adalah atas permintaan polis.
Nas berkata anggota TNI tidak dikerahkan secara langsung untuk menangani penunjuk perasaan, sebaliknya hanya memberikan sokongan tambahan sekiranya polis tidak mampu mengawal keadaan.
Beliau menambah bahawa pihak tentera tidak akan mengambil alih peranan penguatkuasaan undang-undang polis dalam menangani demonstrasi itu. - AGENSI
Tags
Berita

