![]() |
| TANGKAP layar daripada rakaman video tular menunjukkan lelaki itu merosakkan harta benda di pekan Kota Belud. |
Kota Belud: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental telah ditahan polis petang semalam selepas dikatakan bertindak agresif dan menyebabkan gangguan di sekitar pekan Kota Belud.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, lelaki itu berjaya dikesan dan ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi memastikan keselamatan orang awam serta untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata pihak polis bertindak segera selepas menerima beberapa laporan daripada orang ramai yang bimbang dengan tingkah laku lelaki tersebut yang dipercayai boleh mengancam keselamatan awam.
Selepas ditahan, lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Shahrudin, semakan mendapati lelaki itu pernah menerima rawatan kesihatan mental di Hospital Kota Belud dan Hospital Mesra Bukit Padang. Selain itu, dia juga tidak mempunyai waris terdekat yang boleh menjaga dan memantau keadaannya.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil mengikut Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001, yang membenarkan individu yang disyaki mengalami gangguan mental dan berpotensi membahayakan diri sendiri, orang lain atau harta benda dibawa untuk pemeriksaan perubatan segera.
Sebelum ini, beberapa video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan dipercayai bertindak agresif di sekitar pekan Kota Belud sehingga menyebabkan kerosakan pada harta benda awam dan premis perniagaan.
Dia juga didakwa mengganggu kemudahan awam, termasuk merosakkan suis bekalan elektrik, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan peniaga setempat.

