Malaysia Hot

Salah Faham Kereta ‘Mencurigakan’, Pasangan Suami Isteri Jadi Mangsa

Tangkap layar gambar tular berkenaan kekecohan yang berlaku di Bandar Scientex malam tadi. 

 Jasin: Sebuah kereta yang disyaki mencurigakan oleh penduduk di Bandar Scientex, Jasin, rupa-rupanya menjadi punca salah faham yang berakhir dengan pertengkaran dan tular di media sosial pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, Balai Polis Merlimau menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 malam sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.

Menurut beliau, polis yang tiba kira-kira 15 minit kemudian mendapati beberapa penduduk sedang bertengkar dengan sepasang suami isteri. Keadaan berjaya dikawal sebelum pasangan berkenaan dibawa ke Balai Polis Merlimau untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku akibat salah faham mengenai kehadiran pasangan tersebut di kawasan perumahan berkenaan.

Difahamkan, pada 8 Jun lalu sekitar jam 5.30 petang, seorang penduduk melaporkan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan wanita kelihatan mencurigakan selepas mereka datang ke rumahnya dan meminta penghuni membuka pintu.

Bagaimanapun, pasangan itu sebenarnya tersalah lorong dan nombor rumah ketika mencari alamat pelanggan mereka.

Siasatan juga mendapati wanita berkenaan bekerja sebagai bidan dan menawarkan perkhidmatan urutan dari rumah ke rumah, termasuk kepada ibu yang baru bersalin.

Penduduk kemudian mendakwa melihat semula kereta yang sama berada di hadapan sebuah rumah di kawasan tersebut. Beberapa individu menghampiri kenderaan itu dan mendapati suami bidan berkenaan sedang menunggu di dalam kereta, manakala isterinya sedang memberikan urutan kepada seorang wanita yang baru bersalin di dalam rumah.

Keadaan itu mencetuskan pertengkaran mulut sebelum orang ramai mula berkumpul di lokasi.

Menurut Lee, selepas semua pihak diberikan penjelasan di Balai Polis Merlimau, mereka memahami bahawa kejadian tersebut hanyalah salah faham dan akhirnya saling bermaafan.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang unsur jenayah atau percubaan jenayah berlaku dalam insiden itu.

Polis turut menghargai sikap prihatin penduduk dalam membantu menjaga keselamatan kawasan, namun orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak mengikut emosi sehingga menimbulkan kekecohan.

Sebarang aktiviti yang mencurigakan sebaiknya dilaporkan terus kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dengan lebih teratur dan berkesan.

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال