Penyakit kusta masih dikesan di Kelantan apabila lapan kes baharu direkodkan sepanjang tahun lalu, menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yaacob.
Beliau berkata, jumlah itu bersamaan kadar 0.37 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Di peringkat nasional pula, sebanyak 381 kes baharu dilaporkan pada tahun 2025.
Menurut beliau, seramai 516 pesakit kusta masih menerima rawatan di seluruh negara pada tahun lalu. Namun, kadar kes di Kelantan masih berada pada tahap rendah dan terkawal.
Kadar prevalens kusta di Kelantan ialah 0.06 kes bagi setiap 10,000 penduduk, jauh lebih rendah daripada sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk.
Pihak kesihatan mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya mengalami simptom yang mencurigakan bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan segera dan berkesan.

