Malaysia Hot

Shakira, Burna Boy Gegarkan Pembukaan Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca

 

MEXICO CITY: Penyanyi terkenal Colombia, Shakira, bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy, berjaya menghangatkan suasana majlis pembukaan Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca pada Khamis, menjelang perlawanan pembukaan antara tuan rumah bersama, Mexico dan Afrika Selatan.

Kejohanan yang disertai 48 pasukan itu turut dianjurkan oleh Amerika Syarikat dan Kanada, dengan keseluruhan 104 perlawanan akan berlangsung sebelum tirai kejohanan dilabuhkan menerusi perlawanan akhir di New Jersey pada 19 Julai.

Sepanjang majlis pembukaan, para penari mempersembahkan aksi mengelilingi replika gergasi trofi Piala Dunia, manakala pertunjukan bunga api menerangi stadium bersejarah berkapasiti 80,000 penonton itu. Stadium Azteca sebelum ini pernah menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Dunia 1970 dan 1986, dan telah dinaik taraf khas untuk kejohanan tahun ini.


Kemuncak acara menyaksikan Shakira dan Burna Boy mempersembahkan lagu rasmi kejohanan berjudul “Dai Dai”, yang menerima sorakan gemuruh daripada para penyokong.

Namun, ketika suasana meriah berlangsung di dalam stadium, keadaan di pusat bandar Mexico City pula menjadi agak kelam-kabut apabila ribuan penyokong berebut-rebut untuk memasuki zon rasmi peminat Piala Dunia menjelang sepak mula pada jam 6 petang GMT (3 pagi waktu Malaysia).

Kemasukan ke zon peminat di Dataran Zócalo turut terganggu akibat pemasangan penghadang besi dalam beberapa hari kebelakangan ini bagi menghalang kumpulan guru yang mengadakan protes daripada memasuki kawasan tersebut.

“Hentikan tolak-menolak! Ada kanak-kanak di sini, kamu bertindak seperti haiwan!” jerit seorang pegawai bandar melalui pembesar suara ketika cuba mengawal kemasukan ke lokasi tayangan skrin gergasi perlawanan pembukaan.

Sebahagian penyokong turut membaling botol air, menghamburkan kata-kata kesat kepada pihak polis serta melaungkan sorakan menyokong pasukan Mexico.

“Keadaannya memang huru-hara,” kata seorang penyokong berusia 25 tahun, Javier Maciel. “Penganjuran sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih baik.”

Kerajaan tempatan kemudiannya memaklumkan menerusi media sosial bahawa kawasan tersebut telah penuh dan menyarankan orang ramai untuk menonton di dataran lain.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, sebelum ini dijangka hadir menyaksikan perlawanan di zon peminat berkenaan. Namun, beliau memberi bayangan mungkin tidak hadir susulan protes yang berlangsung sejak beberapa hari lalu oleh kumpulan guru yang menuntut kenaikan gaji. — AFP


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال