KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun dari sebuah jejambat ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.
Dua lagi rakannya diberkas, selepas ketiga-tiga suspek enggan memberhentikan kenderaan mereka naiki yang dikejar polis di sekitar daerah Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly, berkata kejadian berlaku ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV), sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah serta pemeriksaan kenderaan.
"Kenderaan itu akhirnya dapat dipintas di kawasan Pantai Sentral sebelum polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.
"Seorang lagi suspek disahkan meninggal dunia selepas cedera parah apabila dipercayai terjun dari jejambat ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
M Hussin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap dan kenderaan terbabit menemui beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah curi serta penyalahgunaan dadah.
Semakan turut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain seorang daripada mereka dikehendaki polis bagi kesalahan berkaitan dadah.
"Seorang suspek direman selama lima hari hingga 29 Jun ini, manakala seorang lagi direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberi kerjasama sepanjang insiden itu dan menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan polis bagi mengelak kejadian yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Shahmee Baharudin, di talian 013-3015810 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222," katanya.
Sumber.

