Malaysia Hot

'Lindungi pelarian jangan sampai korban hak rakyat'


KUALA LUMPUR: Perlindungan kepada pelarian terikat maslahah tertentu dengan bantuan diberikan tidak sehingga mengorbankan hak rakyat, menjejaskan keselamatan dan mengakibatkan bebanan yang besar kepada negara.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata hukum syarak menggariskan perlindungan diberikan kepada golongan memerlukan termasuk pelarian, namun ia perlu seimbang dan tidak sehingga menzalimi rakyat terbanyak.

"Dari hukum syarak, membantu pelarian tuntutan kemanusiaan yang mulia. Bagaimanapun bantuan terbabit bukanlah sehingga mengorbankan hak rakyat, menjejaskan keselamatan negara atau membebankan kemudahan awam secara tidak terkawal.

"Pemerintah wajib berlaku adil kepada kedua-dua pihak. Dalam isu ini, kerajaan melindungi golongan yang memerlukan (termasuk etnik Rohingya) dan pada masa sama memastikan rakyat yang berada di bawah tanggungan tidak dizalimi atau kehilangan hak mereka.

Pada Sabtu, kawasan menempatkan kediaman haram dibina etnik Rohingya itu mula dirobohkan dengan tanah itu disahkan milik persendirian dan sebahagian lagi tanah rizab kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, dalam isu berkaitan etnik Rohingya dengan majoriti daripada mereka beragama Islam, syarak sememangnya menggalakkan bantuan kepada saudara seagama yang ditimpa musibah, dizalimi atau kehilangan tempat perlindungan.

Utama keperluan rakyat

Namun, selain menjaga kebajikan mereka, pada masa sama pemerintah juga bertangunggjawab memastikan terlebih dahulu keperluan dalam kalangan rakyat terpelihara merangkumi menjaga agama, nyawa, harta, maruah dan keselamatan.

"Ulama menjelaskan kewajipan menjaga orang yang berada di bawah tanggungan lebih kuat berbanding mereka yang berada di luar tanggungan.

"Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: Mulakan dengan dirimu, kemudian orang yang berada di bawah tanggunganmu.

"Hadis ini menunjukkan keutamaan tanggungjawab pemerintah ialah memastikan hak rakyat yang berada di bawah pentadbirannya tidak terabai," katanya.

Atas dasar itu, katanya, sekiranya kemasukan pelarian dalam jumlah terlalu besar menyebabkan pelbagai kemudaratan, antaranya kemudahan kesihatan awam menjadi sesak, menjejaskan akses rawatan rakyat, membebankan petugas kesihatan atau meningkatkan kos yang tidak mampu ditanggung negara, pemerintah berhak mengenakan kawalan, syarat atau had tertentu.

Tegasnya, ini bukan kezaliman, bahkan termasuk dalam tanggungjawab menjaga maslahah umum.

"Begitu juga aspek keselamatan. Islam sangat tegas dalam menjaga keamanan masyarakat. Sekiranya terdapat individu atau kumpulan daripada mana-mana etnik yang terbabit dalam jenayah, pemerdagangan manusia, dadah, keganasan, pergaduhan atau ancaman terhadap ketenteraman awam, pemerintah bukan sahaja boleh, bahkan wajib mengambil tindakan tegas," katanya.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال