BATU GAJAH: Seorang lelaki berusia 30 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh teman lelaki bekas kekasihnya dua minggu lalu.
Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Muhammad Fahmi Abdullah, 29, di tepi jalan utama Jalan Trans Perak dalam daerah Perak Tengah antara jam 4.30 pagi hingga 5.49 pagi pada 10 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya disabitkan kesalahan.
Siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa. Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin sebelum ini berkata siasatan mendapati suspek telah bertemu bekas teman wanitanya yang berusia 25 tahun pada 9 Jun bagi membincangkan masalah hubungan mereka.
Menurut beliau, dalam pertemuan di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak itu, suspek didakwa mengugut dan merogol wanita berkenaan di dalam keretanya.
Selepas kejadian, sebuah kereta Proton Wira hitam yang dipandu suspek ditemui ditinggalkan di Batu Gajah, daerah Kinta.
Selepas prosiding mahkamah selesai, tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk menghadapi satu lagi pertuduhan berkaitan jenayah seksual, iaitu cubaan merogol seorang wanita.
Sumber.
Tags
Jenayah

