Malaysia Hot

Messi buru rekod Piala Dunia jumpa Austria


DALLAS, Amerika Syarikat: Lionel Messi terus menjadi tumpuan di Dallas apabila bintang Argentina itu berada di ambang mencipta satu lagi sejarah bola sepak ketika juara bertahan Piala Dunia itu berdepan Austria awal pagi esok.

Messi, yang akan menyambut hari jadi ke-39 Rabu ini, meledak hatrik ketika menang 3-0 ke atas Algeria sekali gus menyamai rekod jaringan sepanjang zaman Piala Dunia milik Miroslav Klose dengan 16 gol.

Ketua pasukan itu dilaporkan sebak selepas menjaringkan gol pertamanya dan kemudian didedahkan bapanya sedang pulih daripada isu kesihatan yang tidak dinyatakan.

Penyerang Inter Miami itu pada asalnya tidak membuat komitmen untuk menyertai kejohanan di Amerika Utara sehingga saat akhir.

Namun tiada siapa benar-benar menjangka dia akan terlepas mengetuai cabaran Argentina dalam usaha muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 memenangi Piala Dunia secara berturut-turut.

Stadium tertutup dan berhawa dingin milik Dallas Cowboys bagi aksi kumpulan kedua menentang Austria dianggap pentas ideal untuk Messi memecahkan rekod Klose.

"Pada akhirnya, ia sekadar statistik dan tiada lebih daripada itu," kata Messi, yang dianggap antara pemain terhebat sepanjang zaman.

Kemenangan ke atas Austria akan meletakkan pasukan Lionel Scaloni di ambang kelompok 32 terakhir sebagai juara Kumpulan L dengan berbaki satu perlawanan, sekali gus memberi peluang Messi berehat untuk pusingan kalah mati.

Sebelum ini wujud tanggapan Messi tidak mempamerkan prestasi sama cemerlang seperti di Barcelona ketika mewakili negaranya.

Namun kini, walaupun sudah menghampiri penghujung karier, kehadiran Messi terus menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan di dalam dan luar padang.

"Jika ada yang fikir pasukan ini lebih baik tanpa Leo, hari ini jelas Leo adalah yang paling penting," kata pemain tengah Alexis Mac Allister selepas aksi menentang Algeria. – AFP
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال