AUBURN, Amerika Syarikat: Lionel Messi menjaringkan gol hanya beberapa minit selepas kembali beraksi daripada kecederaan ketika membantu Argentina menewaskan Iceland 3-0 pada aksi pemanas badan terakhir Piala Dunia di Auburn, Alabama sebentar tadi.
Messi memulakan perlawanan di bangku simpanan apabila pemenang Ballon d'Or lapan kali itu diberi masa untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik selepas mengalami keletihan otot ketika Inter Miami menewaskan Philadelphia 6-4 pada 24 Mei lalu.
Julian Alvarez, Enzo Fernandez dan Alexis Mac Allister turut berada di bangku simpanan apabila Lionel Scaloni menurunkan kesebelasan eksperimen di hadapan kira-kira 88,000 penonton.
Messi yang akan beraksi pada Piala Dunia keenamnya berjaya menghilangkan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya menerusi penampilan cemerlang selama 20 minit.
Argentina akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan menentang Algeria pada 16 Jun sebelum turut berdepan Austria dan Jordan dalam Kumpulan J.
Iceland sepatutnya mendahului seawal minit pertama namun Mikael Egill Ellertsson melepaskan peluang keemasan apabila rembatannya melambung tinggi walaupun pintu gol sudah ternganga.
Sebaliknya, juara dunia tiga kali itu yang membuka tirai jaringan.
Iceland hanya mampu mengeluarkan bola secara separa daripada situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti sebelum bola jatuh kepada pemain pertahanan Strasbourg, Valentin Barco yang menyudahkan peluang ke penjuru bawah gawang.
Nico Paz gagal memanfaatkan peluang untuk menyerlah ketika ketiadaan Messi apabila mensia-siakan peluang terbaik menambah jaringan sebelum rehat selepas percubaannya ditepis menggunakan muka oleh penjaga gol Iceland, Elias Olafsson.
Fernandez dan Mac Allister dimasukkan bersama tiga lagi pemain ketika rehat.
Lautaro Martinez yang turut dimasukkan pada separuh masa kedua kecewa apabila dua percubaannya terkena tiang walaupun berpeluang menggandakan kelebihan Argentina.
Penantian penyokong untuk menyaksikan Messi bermain berakhir pada suku terakhir perlawanan apabila dia dimasukkan.
Menerusi sentuhan pertamanya, hantaran cemerlang Messi menemui Martinez yang dijatuhkan Olafsson selepas cuba melakukan sepakan lambung ketika bola sudah tersasar.
Messi kemudian tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk gol antarabangsa ke-117 dalam penampilan ke-199 bersama Argentina.
Dia sekali lagi memainkan peranan penting bagi gol ketiga Argentina apabila hantarannya menemui Rodrigo De Paul yang kemudian melorongkan bola kepada Thiago Almada yang mudah menampan masuk. – AFP

