Malaysia Hot

Neuer tinggalkan Jerman selepas Piala Dunia 2026


BERLIN: Penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer mengumumkan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi kejohanan utama terakhirnya bersama skuad kebangsaan.

Pemain berusia 40 tahun itu membuat pengumuman terbabit menjelang perlawanan kedua Kumpulan B menentang Ivory Coast pagi esok, yang juga menandakan penampilan ke-126 beliau bersama Jerman.

"Saya tidak nampak diri saya masih bermain pada Kejuaraan Eropah (EURO) 2028. Ia satu anugerah dapat berada di sini. 

"Saya benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada pasukan ini," kata Neuer.

Neuer menjelaskan keputusan kembali menyertai skuad kebangsaan selepas berehat selama dua tahun dibuat kerana beban jadual perlawanan yang padat di peringkat kelab.

"Saya tidak mampu melakukan kedua-duanya sekali, bermain untuk kelab dan pasukan kebangsaan," katanya.

Kembalinya Neuer turut memberi kesan kepada kedudukan penjaga gol, Oliver Baumann yang berkemungkinan kembali menjadi pilihan kedua di bawah kendalian jurulatih, Julian Nagelsmann selepas dua tahun menggalas tugas sebagai penjaga gol utama Jerman.

"Kami berbincang secara terbuka dan mencapai persefahaman bersama. Segala-galanya sudah diselesaikan," kata Baumann.

Piala Dunia 2026 bakal menjadi penampilan kelima Neuer di pentas terbesar bola sepak dunia dan kemungkinan tirai penutup kepada salah satu karier penjaga gol paling cemerlang dalam sejarah Jerman. -BERNAMA
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال