Malaysia Hot

Padah langgar pantang larang baharu FIFA, Almiron dibuang padang


SAN FRANCISCO: Bekas bintang Newcastle United, Miguel Almiron, melakar sejarah hitam sebagai pemain pertama dalam sejarah Piala Dunia dibuang padang gara-gara melanggar peraturan baharu, menutup mulut ketika bercakap dengan pemain lawan.

Pemain sayap berusia 32 tahun itu, yang beraksi memperkuatkan Paraguay dalam aksi getir menentang Turkiye di Stadium Levi's, diarahkan keluar padang pada minit ketiga masa kecederaan babak pertama.

Insiden itu tercetus daripada kekecohan selepas penyerang Paraguay, Isidro Pitta, rebah akibat dikasari.

Pemain Turkiye yang berang menuduh Pitta sengaja berlakon dan mengarahkannya bangun dengan segera, sekali gus mencetuskan perang mulut antara kedua-dua pasukan.

Di tengah-tengah ketegangan itu, pertahanan Turkiye, Mert Muldur secara tiba-tiba memberi isyarat kepada pengadil, Ivan Barton, untuk menyemak sistem video bantuan pengadil (VAR).

Selepas membuat semakan di monitor VAR, Barton tanpa teragak-agak melayangkan kad merah terus kepada Almiron, sekali gus mengejutkan kem Paraguay yang ketika itu sedang mendahului 1-0 menerusi gol awal Matias Galarza pada minit kedua.

Tindakan menutup mulut kini dikategorikan sebagai kesalahan kad merah selepas diluluskan dalam mesyuarat khas Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) pada penghujung April lalu.

Rentetan itu, FIFA memilih untuk mengguna pakai pindaan undang-undang terbabit bermula pada kejohanan Piala Dunia kali ini.

Regulasi antikeganasan verbal dan rasisme ini diperkenalkan berikutan insiden dramatik dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara Eropah antara Real Madrid dan Benfica, Februari lalu.

Dalam aksi itu, bintang Real, Vinicius Jr mendakwa pemain lawan, Gianluca Prestianni, mengeluarkan kata-kata rasis sambil menutup mulutnya bagi mengelak dikesan kamera dan pembaca gerak bibir.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال