FOXBOROUGH: Perebutan anugerah Kasut Emas, gelaran untuk penjaring terbanyak Piala Dunia dijangka sengit pada edisi 2026 kali ini dengan kehadiran tiga bekas pemenang yang sedia mempertahankan reputasi masing-masing di Amerika Utara.
Tiga bintang sensasi berkenaan ialah peledak berbisa Perancis, Kylian Mbappe (lapan gol pada 2022), kapten England, Harry Kane (enam gol pada 2018) dan perancang utama Colombia, James Rodriguez (enam gol pada 2014).
Mbappe dan Kane sekali lagi diletakkan sebagai calon pilihan penganalisis sukan untuk mengungguli carta jaringan, bersaing hebat dengan bintang Norway, Erling Haaland yang melakukan penampilan sulung di pentas Piala Dunia serta legenda Argentina, Lionel Messi.
Turut disenaraikan sebagai pencabar utama sebelum kejohanan bermula ialah gandingan Sepanyol, Mikel Oyarzabal dan Lamine Yamal, tonggak Brazil, Vinicius Junior, serta bintang veteran Portugal, Cristiano Ronaldo.
Calon pemenang Kasut Emas pada edisi 2026 mempunyai kelebihan satu perlawanan tambahan untuk menambah koleksi gol mereka.
Ini berikutan pengenalan format baharu yang membabitkan 48 pasukan, sekali gus menyaksikan pusingan 32 terbaik diperkenalkan buat kali pertama.
Mana-mana pasukan yang berjaya melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir akan melengkapkan jadual keseluruhan sebanyak lapan perlawanan.
Biarpun jumlah perlawanan bertambah, rekod jaringan tertinggi dalam sejarah Kasut Emas yang dipegang oleh legenda Perancis, Just Fontaine menerusi ledakan 13 gol dalam hanya enam perlawanan pada edisi 1958 kekal sebagai sasaran yang amat sukar untuk dileburkan.
Bermula edisi kali ini juga, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan tiada lagi perkongsian gelaran pemenang jika jumlah gol adalah sama.
Sekiranya terdapat dua atau lebih pemain menamatkan kempen dengan bilangan gol yang seimbang, kiraan jumlah bantuan gol (assists) akan digunakan sebagai penentu mutlak.
Jika jumlah gol dan bantuan gol masih lagi sama, minit permainan keseluruhan sepanjang kejohanan akan diambil kira.
Pemain yang mencatatkan jumlah minit permainan paling sedikit akan dinobatkan sebagai pemenang tunggal Kasut Emas.
Sumber.
Tags
Sukan

