![]() |
| Sedang tular |
Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan arahan kepimpinan PAS supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Namun bagi Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sokongan yang diumumkan tidak seharusnya berhenti sebagai kenyataan politik. Sebaliknya, ia perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar di peti undi.
Menurut beliau, BN menghargai pendirian tersebut dan berharap arahan itu benar-benar dipatuhi oleh akar umbi PAS di semua 56 kerusi DUN yang ditandingi gabungan berkenaan.
"Ya, bagus kalau sokongan itu diberikan kepada calon kita dalam PRN ini. Kita hargai sokongan itu, tetapi jangan hanya sekadar menanam tebu di bibir,"** katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera BN bagi DUN Parit Yaani dan DUN Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid dilihat sebagai mesej yang jelas bahawa dalam politik pilihan raya, ukuran sebenar bukanlah pada pengumuman atau kenyataan media, sebaliknya sejauh mana arahan kepimpinan diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan ahli dan penyokong PAS supaya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PAS atau Perikatan Nasional (PN), bagi mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan pembangkang.
PRN Johor kali ini menyaksikan PN bertanding di 33 kerusi DUN melibatkan BERSATU (16), PAS (11), MIPP (5) dan Pejuang (1), manakala BN meletakkan calon di kesemua 56 kerusi.
Arahan yang dikeluarkan PAS kini meletakkan tumpuan kepada sejauh mana disiplin jentera dan penyokongnya di peringkat akar umbi. Jika sokongan itu benar-benar diterjemahkan kepada undi, ia bakal memberi kelebihan kepada BN di kerusi-kerusi yang menyaksikan pertembungan tanpa calon PAS.
Apa yang pasti, PRN Johor bukan sekadar menguji kekuatan parti yang bertanding, malah menjadi medan mengukur sejauh mana komitmen politik mampu diterjemahkan kepada tindakan. Seperti ditegaskan Ahmad Zahid, sokongan sentiasa dialu-alukan tetapi nilai sebenar hanya dapat dibuktikan apabila peti undi ditutup dan keputusan diumumkan.

