Malaysia Hot

'Pasukan yang perlu gol, bukan kamu' - Henry bidas ego Ronaldo


HOUSTON: Legenda bola sepak Perancis, Thierry Henry, memberikan kritikan yang sangat tajam terhadap persembahan Cristiano Ronaldo ketika Portugal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah hambar.

Bekas penyerang Arsenal itu mendedahkan satu situasi khusus yang menyaksikan impian penyerang legenda terbabit memburu kegemilangan peribadi meragut gol kemenangan penting buat negaranya, ketika terikat 1-1 menentang DR Congo.

Aksi pembukaan Kumpulan K di Houston itu berakhir dengan keputusan mengecewakan, namun tumpuan pasca-perlawanan kini terarah kepada analisis 'kejam' Henry terhadap Ronaldo.

Beliau berhujah pergerakan Ronaldo di jentera serangan sebenarnya menyukarkan usaha Portugal untuk merobek benteng kental DR Congo, khususnya menerusi satu gerakan pada babak kedua yang membabitkan Joao Cancelo dan Bruno Fernandes.

Henry menggunakan fasa serangan berkenaan untuk membuktikan hujahnya, dengan menyatakan kehadiran Ronaldo di zon tertentu mengganggu ruang rakan sepasukannya sendiri.

"Apabila Portugal menguasai bola, Cancelo akan menerima hantaran. Ronaldo sudah berada dalam situasi seperti ini berkali-kali. Jika kamu melakukan larian ke kawasan itu, kamu akan memaksa pemain pertahanan membuat keputusan untuk turun ke kawasan kotak enam ela," jelas Henry dalam analisis taktikalnya.

Bagaimanapun, beliau melihat naluri Ronaldo yang terlalu mendesak untuk meledak gol sendiri akhirnya membawa kepada kesilapan taktikal.

"Disebabkan beliau terlalu mahu menjaringkan gol, beliau masuk ke laluan (Bruno) Fernandes. Jika beliau berlari ke kotak enam ela, pertahanan lawan terpaksa mengekorinya, dan situasi itu akan memberikan gol mudah buat Fernandes.

"Namun, kerana ego mahu menjaringkan gol, beliau pergi ke arah laluan hantaran ke belakang. Kamu boleh lihat kedua-dua pemain berada di posisi sama, dan situasi itu adalah sangat mudah untuk dikekang oleh pertahanan lawan."

Statistik perlawanan di Stadium NRG turut menyokong analisis padat Henry. 

Ronaldo menamatkan perlawanan tanpa meledak sebarang sepakan tepat ke sasaran, situasi yang hanya berlaku buat kali keenam sepanjang karier panjangnya di pentas Piala Dunia.

Ketika misi memburu gol bersejarah dalam edisi keenamnya menemui jalan buntu, kekecewaan ketara jelas terpancar pada wajah kapten Portugal itu, sekali gus meneruskan rentetan aksi hambarnya di peringkat antarabangsa.

Henry turut menambah, situasi itu menyebabkan beberapa pemain di atas padang mula berasa rimas dengan ketiadaan keserasian berkenaan.

"Inilah pendirian saya. Pasukan yang perlukan gol, bukan kamu. Anda boleh lihat reaksi Fernandes di belakang yang seolah-olah berkata: 'Biarkan bola itu bergolek, buat larian, cipta ruang supaya saya boleh menolak bola masuk.'

"Itulah isunya," kata Henry yang merujuk kepada ketegangan fizikal yang jelas kelihatan antara dua tunjang utama Portugal itu sepanjang aksi sulung kumpulan berkenaan.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال