PALM BEACH: Pemain sayap Portugal, Francisco Conceicao menegaskan bahawa dia dan rakan sepasukan tidak berasa tertekan untuk menghantar bola kepada Cristiano Ronaldo susulan penelitian terhadap peranan bintang veteran itu selepas aksi kurang meyakinkan Portugal dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia.
Pengkritik mempersoalkan sama ada kekurangan pergerakan Ronaldo yang kini berusia 41 tahun memberi kesan negatif kepada peluang Portugal selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan DR Congo.
Namun, Conceicao menegaskan tiada persoalan mengenai pemain Portugal 'wajib' menghantar bola kepada Ronaldo sekiranya terdapat rakan lain yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk menyerang.
"Kami tidak merasakan keperluan untuk menghantar bola kepadanya," kata Conceicao. "Saya akan menghantar bola kepada sesiapa yang saya fikir berada dalam kedudukan terbaik dan tidak dikawal lawan."
Conceicao berkata, Ronaldo dianggap sebagai seorang lagi anggota skuad yang memerlukan setiap individu memainkan peranan bagi memastikan pasukan berfungsi dengan baik secara kolektif
"Tiada siapa sepertinya apabila bercakap mengenai menjaringkan gol... Dia berada di sini untuk membantu, sama seperti pemain lain."
Portugal akan menentang Uzbekistan dalam perlawanan kedua Kumpulan K di Houston, Rabu ini, dengan skuad itu amat memerlukan tiga mata untuk menghidupkan kempen mereka.
"Tiada siapa yang lebih kecewa daripada kami. Kami sendiri berasa bahawa kami tidak melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin," kata Conceicao.
"Jika keputusan tidak memihak kepada kami, tekanan dan kritikan akan bertambah. Kami mahu menunjukkan kualiti kami dan memenangi perlawanan seterusnya."
Sumber.
Tags
Sukan

