ARLINGTON, Amerika Syarikat: Penyokong Jepun sekali lagi mencuri perhatian pada Piala Dunia apabila meneruskan tradisi membersihkan kawasan tempat duduk mereka selepas perlawanan menentang Belanda di Stadium Dallas, awal pagi tadi.
Walaupun meraikan keputusan seri 2-2 yang penuh dramatik, penyokong Jepun memilih untuk menghabiskan masa selepas perlawanan dengan mengutip sampah ke dalam beg plastik besar.
Daichi Kamada muncul penyelamat Jepun apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan kencang susulan tandukan Koki Ogawa, sekali gus memastikan mereka meraih satu mata berharga menentang Belanda.
Dua pasukan dengan ranking tertinggi dalam Kumpulan F itu terikat 2-2, namun bagi Jepun yang dua kali ketinggalan pada babak kedua, keputusan itu pastinya terasa seperti satu kemenangan.
Lapan tahun lalu pada Piala Dunia 2018 di Russia, penyokong Jepun menjadi tular apabila mengutip sampah di stadium walaupun pasukan mereka tersingkir selepas kekalahan yang menyakitkan.
Empat tahun kemudian di Qatar, mereka sekali lagi dirakam melakukan perkara sama ketika Jepun menjuarai Kumpulan E hasil kemenangan ke atas Jerman dan Sepanyol.
"Bagi rakyat Jepun, ini adalah perkara biasa untuk dilakukan," kata jurulatih Jepun pada Piala Dunia 2022, Hajime Moriyasu kepada The Athletic.
"Apabila anda meninggalkan sesuatu tempat, anda perlu memastikan ia lebih bersih daripada keadaan asalnya."
Awal pagi tadi, penyokong Jepun turut menerima bantuan daripada individu yang tidak dijangka iaitu pemain quarterback NFL, Jameis Winston yang bertugas sebagai wartawan untuk FOX.
Semangat rendah diri yang dipamerkan penyokong Jepun itu jelas menarik perhatian Winston, yang turut menyertai sorakan dan nyanyian penyokong Belanda sebelum perlawanan berlangsung. – REUTERS
Tags
Sukan

