![]() |
Seorang wanita berusia 21 tahun maut selepas tercampak dari sebuah jambatan terbiar di Brazil semasa aktiviti bungee jumping yang berakhir dengan tragedi pada hujung minggu lalu, menurut pihak berkuasa Brazil dan beberapa laporan media.
Insiden pada 13 Jun itu berlaku di Ponte do Esqueleto atau "Jambatan Rangka", di Limeira, sebuah bandar di negeri São Paulo, menurut saluran berita Brazil, G1.
Saksi, termasuk tunangnya, sedang merakam video ketika Maria Eduarda Rodrigues de Freitas, yang telah membeli pakej lawatan berpandu daripada sebuah syarikat swasta yang merangkumi aktiviti terjun menggunakan tali, dibawa oleh tiga kakitangan ke hujung papan yang menonjol dari sisi jambatan. Ketika itu, mangsa memakai topi keledar sebelum dicampakkan ke bawah.
Beberapa saat selepas mangsa menjunam lebih 130 kaki (kira-kira 40 meter), seorang saksi dilaporkan menyedari bahawa tali keselamatan utama masih berada di atas tanah lalu menjerit, “Kawan-kawan, talinya!”
Sebuah helikopter polis telah dikerahkan ke lokasi, namun graduan dalam bidang pendidikan jasmani dan pengurusan sukan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tunangnya dilaporkan mengalami kejutan dan tidak sihat selepas bergegas ke lokasi kejadian, sebelum dibawa ke unit kecemasan hospital, menurut laporan People.
Menurut Pegawai Penyiasat Andrea Dantas Levy, pasukan yang mengendalikan aktiviti tersebut tidak beroperasi secara sah.
“Ia adalah pasukan yang tidak dikawal selia. Mereka juga tidak mempunyai kebenaran untuk berada di situ. Pada pandangan saya, kematian ini berlaku akibat kegagalan memeriksa dan memastikan tali dipasang dengan betul pada mangsa sebelum lompatan,” katanya kepada G1.
Enam individu dibawa untuk disoal siasat oleh polis, termasuk tiga lelaki berusia 27, 32 dan 42 tahun yang ditahan di lokasi kejadian. Mereka didakwa atas kesalahan membunuh akibat kecuaian melampau (homicide with implied malice), iaitu pertuduhan yang digunakan apabila seseorang menyedari risiko tindakannya boleh menyebabkan kematian tetapi tetap meneruskannya.
Peguam yang mewakili ketiga-tiga lelaki itu memberitahu G1 bahawa kru bungee jumping yang terlibat mempunyai pengalaman luas, dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tragedi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Majlis Bandaraya Limeira dijangka memfailkan aduan terhadap kerajaan persekutuan Brazil berhubung kekurangan langkah keselamatan di jambatan terbiar itu. Jambatan tersebut terletak di atas tanah milik kerajaan persekutuan dan telah lama dikenal pasti sebagai lokasi yang berisiko, menurut laporan People.
Sumber.
Tags
Berita

