Malaysia Hot

Pertembungan Satu Lawan Satu Tidak Jejaskan Kerajaan Perpaduan - Azalina




KOTA TINGGI: Pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dato’ Sri Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, struktur pentadbiran Malaysia memisahkan dengan jelas urusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, justeru perbezaan politik di peringkat negeri tidak akan mengganggu kerjasama mahupun pentadbiran di peringkat Persekutuan.

"Persekutuan adalah Persekutuan, negeri adalah negeri. Kita mengamalkan sistem Persekutuan. Dalam sistem ini, negeri merupakan sebahagian daripada Persekutuan... jadi tiada sebarang isu," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Literasi Anti-Buli Johor di Pusat Konvensyen Westin Desaru, hari ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat negeri yang ditadbir pembangkang, kerjasama dengan kerajaan Persekutuan tetap berjalan lancar, khususnya dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menegaskan pengundi perlu mengutamakan calon yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbanding membuat pilihan berdasarkan sentimen politik semata-mata.

"Apa yang paling penting bagi saya ialah mengundi berdasarkan khidmat yang boleh diberikan. Jika rakyat mengundi semata-mata untuk mewujudkan pembangkang tanpa sebab yang kukuh, akhirnya rakyat sendiri yang akan menanggung akibatnya.

"Tema kita ialah 'Maju Johor'. Saya berharap para pengundi membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya... jangan kerana hendak membunuh nyamuk, kelambu dibakar," katanya.

Dalam PRN Johor kali ini, calon BN dan PH akan bertembung secara satu lawan satu di 14 kerusi DUN.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertandingan satu lawan satu tidak secara automatik memberikan kelebihan kepada mana-mana parti kerana keputusan pilihan raya banyak dipengaruhi faktor tempatan.

Menurut beliau, dinamika setiap kawasan seperti komposisi demografi, isu setempat, kualiti calon serta keupayaan calon memahami dan menyelesaikan masalah rakyat akan menjadi penentu utama keputusan pilihan raya.

"Pilihan raya di Malaysia sangat bergantung kepada faktor kawasan. Pertandingan satu lawan satu tidak secara automatik memberikan kelebihan kepada mana-mana parti," katanya.

Proses penamaan calon bagi PRN Johor berakhir hari ini dengan seramai 172 calon disahkan bertanding bagi kesemua 56 kerusi DUN, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkempen menjelang hari pengundian pada 11 Julai.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2,727,926 pengundi berdaftar layak mengundi dalam pilihan raya ini, merangkumi pengundi biasa, anggota tentera dan pasangan mereka, serta anggota polis dan pasangan masing-masing.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال