Malaysia Hot

Analisis: Mengapa BN Memasuki PRN Johor Dengan Kelebihan Berbanding PH dan PN - Syafiq Shaharuddin


Pilihan raya bukan sekadar pertandingan manifesto atau ceramah. Dalam banyak keadaan, kemenangan ditentukan oleh tiga perkara utama iaitu kekuatan organisasi, kesepaduan gabungan dan keyakinan pengundi terhadap kemampuan sesebuah parti mentadbir.

Jika ketiga-tiga faktor itu dijadikan ukuran, agihan calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menunjukkan Barisan Nasional (BN) memasuki PRN Johor dengan kedudukan yang lebih tersusun berbanding pesaingnya.

UMNO bertanding di 37 daripada 56 kerusi, MCA di 15 kerusi dan MIC di empat kerusi. Ini bermaksud hampir dua pertiga daripada keseluruhan calon BN datang daripada UMNO, sekali gus menjadikan UMNO parti yang bertanding paling banyak kerusi dalam pilihan raya ini.

Sebagai perbandingan, PKR bertanding 20 kerusi, AMANAH 19, DAP 17, Bersatu 16 dan PAS hanya 11 kerusi.

Daripada angka ini sahaja, UMNO muncul sebagai parti yang mempunyai liputan paling besar di Johor.

Namun kekuatan BN tidak hanya terletak pada jumlah calon.

Kajian yang dibentangkan oleh bekas Menteri DAP, Dr. Ong Kian Ming, memberikan dimensi yang lebih menarik apabila beliau menganggarkan BN mempunyai lebih 50 peratus kebarangkalian memenangi sehingga 53 daripada 56 kerusi DUN.

Lebih penting, analisis tersebut bukan datang daripada pemimpin BN tetapi daripada seorang bekas pemimpin kanan DAP sendiri.

Kajian itu turut mengaitkan kelebihan BN dengan penerimaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta trend perubahan sokongan yang tidak lagi memihak sepenuhnya kepada PH dalam beberapa segmen pengundi.

Keadaan ini mewujudkan persoalan yang sukar dijawab oleh lawan politik BN. Jika BN benar-benar semakin ditolak rakyat seperti yang sering didakwa, mengapakah analisis daripada bekas pemimpin kanan DAP sendiri menunjukkan sebaliknya?

Pada masa yang sama, dua gabungan lawan pula memasuki pilihan raya dengan cabaran dalaman masing-masing.

Dalam Perikatan Nasional, perhatian tertumpu kepada hubungan PAS dan Bersatu selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengesahkan bahawa PAS tidak akan membantu berkempen untuk calon Bersatu walaupun kedua-duanya menggunakan lambang Perikatan Nasional.

Lebih mengundang perhatian ialah kenyataan beliau bahawa Bersatu masih menggunakan logo PN kerana "belum dipecat lagi".

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai perpecahan, kenyataan sedemikian membuka ruang kepada persepsi bahawa hubungan kedua-dua parti tidak lagi berada pada tahap yang sama seperti sebelum ini.

Keadaan menjadi lebih menarik apabila Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, turut mencadangkan supaya PAS dan Bersatu mempertimbangkan untuk bergerak secara berasingan pada pilihan raya umum akan datang.

Apabila dua kenyataan ini dibaca bersama, timbul persoalan sama ada PN sedang memasuki PRN Johor sebagai satu pasukan yang benar-benar bersatu, atau sekadar berkongsi satu logo.

Ironinya, sasaran yang diumumkan oleh Abdul Hadi sendiri bukanlah untuk membentuk kerajaan negeri, sebaliknya meletakkan PAS sebagai pembangkang yang berperanan memberi nasihat kepada kerajaan. Kenyataan itu secara tidak langsung mencetuskan persoalan tentang sejauh mana keyakinan PAS terhadap kemampuan PN mengambil alih pentadbiran Johor.

Pakatan Harapan pula berdepan cabaran yang berbeza.

Walaupun pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan AMANAH kelihatan seimbang, beberapa kawasan menyaksikan bantahan daripada akar umbi AMANAH berhubung pemilihan calon. Isu ini memberi gambaran bahawa proses pengagihan kerusi tidak diterima sepenuhnya di semua peringkat organisasi.

Dalam pilihan raya, persepsi mengenai kesepaduan sama penting dengan manifesto. Jentera yang bersatu memberi keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan itu mampu mentadbir secara kolektif, manakala pertikaian terbuka hanya mengundang persoalan tentang kestabilan selepas pilihan raya.

Jika ketiga-tiga gabungan dibandingkan secara keseluruhan, BN dilihat mempunyai tiga kelebihan yang sukar dinafikan.

Pertama, struktur organisasi yang jelas dengan UMNO sebagai parti teras yang bertanding di 37 kerusi.

Kedua, kesepaduan dalaman yang tidak memperlihatkan pertikaian terbuka mengenai pembahagian kerusi atau kempen sepanjang tempoh penamaan calon.

Ketiga, momentum persepsi yang turut disokong oleh analisis luar, termasuk kajian bekas Menteri DAP sendiri yang meletakkan BN sebagai gabungan paling berpotensi mempertahankan Johor.

Akhirnya, keputusan tetap berada di tangan rakyat Johor.

Namun apabila satu gabungan memasuki pilihan raya dengan organisasi yang tersusun, lawannya berdepan persoalan mengenai kesepaduan, dan analisis daripada tokoh lawan sendiri memberikan kelebihan kepada BN, persoalan sebenar bukan lagi sama ada BN mempunyai peluang untuk menang.

Persoalannya ialah sama ada PH dan PN masih mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka lebih bersedia mentadbir Johor berbanding sebuah gabungan yang memasuki gelanggang dengan struktur lebih mantap dan keyakinan yang semakin diperkukuh oleh perkembangan semasa.


Oleh Syafiq Shaharuddin
Pengerusi Pertubuhan Pintar Pengkalan Chepa
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال