Malaysia Hot

Pesawat kecil terhempas selepas rempuh bangunan tertinggi di Beijing


BEIJING: Sebuah pesawat kecil bersaiz kira-kira sebesar sebuah kereta terhempas selepas merempuh ke bangunan tertinggi di Beijing semalam, menurut saksi kepada Reuters, 

Kawasan di sekitar pencakar langit itu ditutup dengan pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang maklumat mengenai kejadian itu.

Bangunan yang dikenali sebagai CITIC Tower atau China Zun itu ialah pencakar langit setinggi 108 tingkat di daerah pusat perniagaan Beijing serta menjadi ibu pejabat konglomerat milik kerajaan, CITIC Group.

Kawasan sekitar bangunan dikawal ketat dengan kehadiran ramai anggota polis manakala beberapa jalan menuju ke lokasi ditutup kepada kenderaan. Dua panel kaca di tingkat tinggi bangunan itu dilaporkan rosak.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan dan kerajaan tempatan bandar Beijing juga belum memberi maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan maklumat kerana ia dihantar di luar waktu pejabat.

Seorang penghantar barangan yang berada bersama orang ramai berhampiran bangunan itu berkata, beliau bergegas ke CITIC Tower kira-kira jam 6 petang waktu tempatan (10 pagi GMT) selepas terdengar dentuman kuat apabila sebuah pesawat bersaiz kira-kira sebesar kereta merempuh bangunan itu.

"Bunyinya sangat kuat, lebih kuat daripada letupan bunga api," katanya.

Beliau sempat merakam video pesawat yang tertusuk pada bangunan berkenaan, namun memadam rakaman itu kerana bimbang ditahan polis.

Polis turut menghalang orang ramai daripada mengambil gambar dan mengarahkan mereka memadamkan gambar yang sudah dirakam, selain mengarahkan orang ramai beredar dari kawasan kejadian. 

Puluhan kenderaan polis serta beberapa jentera bomba dilihat berada di jalan berhampiran.

Seorang lagi penghantar barangan berkata, beliau datang ke lokasi selepas melihat imej tular di media sosial, memaparkan bangkai pesawat kecil di atas jalan berhampiran bangunan itu.

Semua hantaran berkaitan kejadian itu di media sosial China dilaporkan dipadam dengan pantas.

Carian nama bangunan itu di aplikasi Xiaohongshu, atau Red Note, hanya memaparkan hantaran bertarikh Khamis.

Seorang saksi yang berada di lokasi turut memberitahu Reuters beliau mendengar dentuman kuat itu sambil menyifatkan kejadian berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Sangat pelik sebuah pesawat boleh terbang memasuki kawasan ini kerana hampir keseluruhan ruang udara Beijing adalah kawasan larangan," katanya. - REUTERS

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال