Malaysia Hot

Piala Dunia lonjak populariti bola sepak di Kanada


VANCOUVER, Kanada: Hoki ais mungkin masih menjadi identiti sukan utama Kanada, namun bola sepak semakin mendapat tempat kerana sifatnya yang mudah dimainkan dan mudah diakses, dengan status sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia dijangka memberi lonjakan besar kepada perkembangan sukan itu.

Bola sepak kini menjadi sukan paling pantas berkembang di Kanada, khususnya dalam kalangan golongan muda, dengan hampir sejuta pemain berdaftar di seluruh negara yang secara tradisinya lebih meminati hoki ais, American football, Canadian football, bola keranjang dan besbol.

Kanada memulakan kempen Piala Dunia dengan keputusan seri 1-1 menentang Bosnia-Herzegovina pada aksi Kumpulan B di Toronto sebelum berpindah ke Vancouver untuk menentang Qatar pagi Jumaat ini.

"Kami rakyat Kanada dan sudah tentu hoki sentiasa menjadi sukan nombor satu kami, tetapi kini lebih ramai kanak-kanak bermain bola sepak berbanding sebelum ini," kata pemain pertahanan Kanada, Joel Waterman.

"Ia sangat mudah untuk diceburi dan kanak-kanak menyukainya. Hanya perlukan sebiji bola dan mereka boleh bermain di mana-mana sahaja. Kami mahu melihat lebih ramai bermain di jalanan.

"Di Toronto, terdapat gelanggang kecil lima lawan lima di pusat bandar dan kami sempat turun melihatnya. Sangat menarik menyaksikan semangat mereka dan kami mahu membina komuniti bola sepak serta melahirkan generasi baharu yang suatu hari nanti mewakili pasukan kebangsaan."

Waterman, 30, yang beraksi bersama kelab Major League Soccer (MLS), Chicago Fire dibesarkan di Aldergrove, Langley, sebuah komuniti di British Columbia yang terletak berhampiran Vancouver.

"Ia amat bermakna buat saya," katanya mengenai peluang beraksi di Vancouver.

"Kampung halaman saya hanya kira-kira sejam dari sini. Ini adalah wilayah tempat saya dibesarkan.

"Saya berasa amat bangga dapat mewakili masyarakat di sini dan komuniti yang membentuk perjalanan saya, termasuk kelab yang pernah saya wakili sebelum ini. Ia satu penghormatan yang amat besar." – REUTERS

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال