Menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan, satu corak yang pernah mewarnai politik Malaysia dilihat kembali aktif dalam media sosial. Beberapa hantaran politik mula memainkan naratif yang menggambarkan UMNO dan Barisan Nasional secara negatif sehingga berpotensi membangkitkan kemarahan serta kebencian dalam kalangan pengundi masyarakat Tionghua.
Antara yang menjadi perhatian ialah kandungan yang disiarkan oleh halaman Facebook dikenali sebagai "Bingo Daily". Hantaran-hantaran tersebut dilihat cuba menghidupkan semula persepsi lama terhadap UMNO ketika negara sedang berada dalam suasana politik yang jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu.
Jika UMNO benar-benar menjadi ancaman kepada masyarakat Tionghua seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak, mengapa DAP masih memilih untuk berkongsi kuasa dalam kerajaan yang sama?
Jika UMNO dianggap tidak layak dipercayai, mengapa kerjasama politik itu masih diteruskan sehingga hari ini?
ATAU inikah strategi Red Bean Army apabila UMNO mula menjarakkan diri dengan Pakatan Harapan?
Kontradiksi inilah yang sukar dijelaskan.
Pada satu sisi, UMNO diterima sebagai rakan dalam kerajaan. Pada sisi yang lain, naratif yang menggambarkan UMNO sebagai musuh politik masyarakat Tionghua terus dimainkan menjelang pilihan raya.
Pendekatan sedemikian mengundang persoalan sama ada matlamat sebenar naratif tersebut adalah untuk membincangkan dasar dan prestasi atau sekadar menghidupkan semula sentimen lama bagi tujuan mobilisasi politik.
Lebih menarik, kemunculan semula naratif seperti ini berlaku ketika sebahagian pemerhati politik melihat UMNO semakin menunjukkan kecenderungan untuk menentukan hala tujunya sendiri di beberapa negeri utama.
Rakyat Johor dan Negeri Sembilan sedang berdepan isu yang jauh lebih penting daripada permainan persepsi antara kaum. Kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, pembangunan negeri serta masa depan generasi muda sepatutnya menjadi medan utama perdebatan politik.
Malangnya, masih terdapat pihak yang dilihat lebih gemar memainkan sentimen yang memecahkan masyarakat berbanding menawarkan penyelesaian yang menyatukan rakyat.
Pilihan raya yang matang seharusnya menjadi pertandingan idea dan rekod pentadbiran, bukan pertandingan siapa yang paling berjaya menakutkan pengundi.
Sebab itu rakyat berhak mengetahui siapa yang sebenarnya memperoleh keuntungan politik apabila sentimen kaum terus dimainkan.
Lebih penting, mengapa naratif sedemikian menjadi semakin rancak ketika pilihan raya semakin hampir dan ketika hubungan antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan mula menjadi perhatian umum.
"Dalam usaha terdesak untuk memburukkan UMNO pada PRN Johor dan Negeri Sembilan page pro DAP membuat propaganda yang cuba membangkitkan kemarahan masyarakat Tionghua" - pemerhati politik.

