PUTRAJAYA: Dato Sri Azalina Othman Said yakin cadangan pindaan Perlembagaan bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata keyakinan tersebut berdasarkan maklum balas yang diterima menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, yang telah mengambil kira pandangan daripada semua parti politik.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada minggu lalu dengan perbincangan itu menunjukkan perkembangan yang positif.
"Berdasarkan penilaian saya, saya percaya pindaan Perlembagaan ini akan mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang kerana jawatankuasa tersebut telah mengambil kira pandangan semua parti politik.
"Ahli-ahli jawatankuasa lazimnya mewakili parti masing-masing dan akan memaklumkan hasil perbincangan kepada kepimpinan parti sebelum sesuatu keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Azalina berkata kerajaan juga akan membawa cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang itu ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan susulan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen PKR berhubung Fasal 18.
Menurut beliau, Ahli Parlimen berkenaan mencadangkan supaya perkataan dalam fasal tersebut dipinda, khususnya berkaitan penamaan individu yang akan dibentangkan di Parlimen.
"Mereka meminta supaya Fasal 18 dipinda, khususnya dari segi penggunaan perkataan berkaitan nama-nama yang akan dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan.
"Saya telah mengadakan perbincangan ringkas dengan Jemaah Menteri hari ini dan insya-Allah kita akan membawa cadangan pindaan tersebut ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan untuk pertimbangan lanjut," katanya.
Azalina berkata beliau berharap proses pindaan Perlembagaan itu serta pengundian dapat diselesaikan sebelum persidangan Parlimen semasa berakhir.
Sementara itu, beliau berkata telah mencadangkan agar Karnival Peluang Kedua diadakan setiap tahun dan diperluaskan ke seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai orang ramai berinteraksi secara langsung dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan kerajaan.
Tags
Berita

