Malaysia Hot

Sabah Sudah Buktikan: Politik Anti-Najib Tidak Lagi Menjamin Kemenangan


PKR melalui Ketua Penerangan Keadilan Selangor yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad cuba membina naratif bahawa duduk semeja dengan DAP tidaklah seteruk berganding bahu dengan Jho Low. Kenyataan itu mungkin sesuai sebagai bahan ceramah politik, namun ia gagal menjawab satu realiti yang sedang berlaku di hadapan mata.

Jika politik anti-Najib masih begitu berkesan, mengapa sokongan terhadap Pakatan Harapan terus merosot?


Pilihan Raya Umum 2022 memberikan gambaran yang cukup jelas.

Ketika itu, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja telah disabitkan dalam kes SRC International, malah menjadi sasaran kempen politik yang sangat agresif. Gelaran seperti "plundering idiot" digunakan oleh pengkritiknya. Label "banduan tertangguh" pula dimainkan secara berterusan untuk membentuk persepsi pengundi.

Najib turun berkempen dengan membawa segala beban politik tersebut.

Apa yang berlaku selepas itu?

Pada kempen pilihan raya di Sabah, naratif anti-Najib merupakan antara tema yang paling kerap dimainkan oleh PH dan DAP. Isu SRC, 1MDB, gelaran "banduan tertangguh" serta pelbagai label negatif terhadap Najib diulang secara konsisten dalam ceramah dan kempen politik. Strateginya mudah, iaitu meyakinkan pengundi bahawa menolak lawan politik bermakna menolak legasi Najib. Namun keputusan yang terhasil menunjukkan pengundi Sabah mempunyai keutamaan yang berbeza. Mereka lebih cenderung menilai isu yang menyentuh kehidupan harian seperti ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan dan kestabilan politik berbanding terus terikat dengan naratif yang sama seperti sedekad lalu.

Pakatan Harapan Sabah yang pernah berada pada kedudukan jauh lebih kukuh akhirnya menyusut sehingga hanya tinggal 12 kerusi berbanding 36 kerusi yang pernah dimiliki sebelum ini.

Keputusan tersebut membawa satu mesej yang teramat penting, PKR dan DAP sudah tidak mampu menjadi pilihan utama rakyat lagi.

Rakyat mungkin mendengar naratif anti-Najib. Rakyat juga mampu membezakan antara kempen politik dan keperluan sebenar yang menyentuh kehidupan mereka.

Perkembangan politik Sabah selepas itu menjadikan keadaan lebih menarik.

Dalam pilihan raya negeri yang terbaharu, DAP gagal mempertahankan pengaruhnya sehingga kehilangan kesemua kerusi yang ditandinginya. Keputusan itu bukan sekadar kekalahan biasa. Ia menunjukkan bahawa kempen yang terlalu bergantung kepada sentimen lama semakin kehilangan daya tarikan dalam kalangan pengundi.

Di sinilah hujah Ketua Penerangan Keadilan Selangor yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mula berdepan masalah.

Jika Najib dan Rosmah masih menjadi modal politik yang ampuh, mengapa PH terus kehilangan sokongan?

Jika naratif yang sama masih berkesan, mengapa DAP gagal mempertahankan satu pun kerusi?

Jika pengundi menerima bulat-bulat kempen yang dibawa selama ini, mengapa keputusan pilihan raya bergerak ke arah yang bertentangan?

Lebih menarik, kenyataan Mustapha turut mengabaikan beberapa fakta penting yang sering disebut dalam perbahasan antarabangsa mengenai 1MDB.

Skandal 1MDB tidak pernah berlegar di sekitar satu nama sahaja.

Nama Jho Low, Roger Ng dan Tim Leissner terus muncul dalam siasatan serta prosiding rentas negara yang berkaitan dengan transaksi kewangan 1MDB.

Roger Ng, bekas pegawai Goldman Sachs yang berada dalam lingkungan paling hampir dengan operasi tersebut pernah memberi keterangan bahawa Najib bukan sebahagian daripada kumpulan yang mengendalikan operasi mereka. Kenyataan ini bercanggah denga napa yang diputuskan oleh mahkamah?

Ia membuka perbahasan mengenai peranan individu yang sehingga hari ini masih belum tampil menjawab dakwaan terhadap mereka di mahkamah terbuka.

Jho Low pula kekal menjadi watak paling misteri dalam keseluruhan episod ini. Pelbagai siasatan antarabangsa terus mengaitkan namanya dengan rangkaian transaksi yang menjadi asas kepada skandal 1MDB. Pada masa yang sama, beliau masih gagal dibawa pulang untuk berdepan proses perundangan.

Ironinya, pemimpin PH sendiri berulang kali menuntut supaya Jho Low dikesan dan diadili.

Jika itu pendirian mereka, mengapa kempen politik masih berkisar kepada nama yang sama setiap kali musim pilihan raya tiba?

Mengapa isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan dan masa depan ekonomi tidak diberikan penekanan yang setara?

Sabah telah memberikan isyarat yang cukup jelas.

Pengundi semakin menilai berdasarkan prestasi dan tawaran masa depan, bukan sekadar naratif yang diulang tanpa henti.

Johor dan Negeri Sembilan bakal menjadi medan ujian seterusnya.

Ketika itu nanti, rakyat akan menentukan sama ada strategi politik yang terus bergantung kepada nama Najib dan Rosmah masih mampu mempengaruhi keputusan pengundi.

Sabah sudah membuktikan bahawa politik anti-Najib tidak lagi mencukupi untuk menjamin kemenangan.

Johor dan Negeri Sembilan bakal menentukan sama ada trend itu akan berterusan atau sebaliknya.

"Nampak tak tiba-tiba serangan terhadap Najib seperti datang dari kelompok yang sama dan hanya disambut oleh mereka yang sama?" - pemerhati politik.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال