Malaysia Hot

DAP Punca Hubungan UMNO-PH Tegang


Keputusan pilihan raya di Sabah bukan sekadar memberi kesan kepada kedudukan politik DAP di negeri itu. Ia turut mencetuskan perdebatan mengenai hala tuju parti tersebut dalam Kerajaan Perpaduan dan hubungannya dengan UMNO-BN.

Apabila sesebuah parti berdepan kemerosotan sokongan, tekanan terhadap kepimpinan dan strategi menjadi semakin besar. Dalam keadaan sedemikian, kebanyakan parti akan kembali mengukuhkan agenda yang paling dekat dengan penyokong teras mereka.

Ramai pemerhati politik melihat perkembangan itulah yang sedang berlaku kepada DAP hari ini.

SABAH: TITIK PERMULAAN PERUBAHAN

Keputusan DAP kalah teruk di Sabah membuka persoalan sama ada pendekatan sederhana yang dipamerkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan masih mampu mengembalikan momentum politik yang diperlukan oleh DAP.

Sejak itu, beberapa isu sensitif yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kembali menjadi perdebatan nasional. Corak tersebut menimbulkan tanggapan bahawa DAP sedang berusaha mengukuhkan semula sokongan tradisional melalui isu-isu yang paling dekat dengan asas penyokong mereka.

UEC KEMBALI MENJADI TUNTUTAN

Antara yang paling ketara ialah desakan berkaitan pengiktirafan UEC.

Isu ini bukan perkara baharu. Namun nada dan tekanan yang semakin lantang kebelakangan ini menimbulkan persepsi bahawa DAP mahu menunjukkan kepada penyokong tradisional mereka bahawa agenda lama parti masih kekal menjadi keutamaan.

Dalam sebuah kerajaan gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti dan latar masyarakat, desakan yang terlalu agresif berpotensi mewujudkan ketegangan apabila rakan-rakan politik mempunyai pandangan yang berbeza.

ISU BABI SELANGOR DAN TEGURAN ISTANA

Polemik berkaitan penternakan babi di Selangor pula berkembang jauh melangkaui isu pentadbiran biasa.

Kontroversi tersebut akhirnya menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegur wakil rakyat DAP kerana masih mempertikaikan titah baginda berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Baginda menegaskan isu tersebut perlu dihentikan sepenuhnya demi memelihara keharmonian masyarakat dan mengingatkan semua pihak supaya menghayati serta mendokong prinsip Rukun Negara.

Teguran tersebut hadir selepas ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki, terus membangkitkan isu berkenaan walaupun pendirian pihak istana telah dinyatakan dengan jelas.

Apabila sesuatu isu mula hiruk sehingga memerlukan campur tangan institusi diraja, perbahasan itu tidak lagi boleh dianggap sebagai pertikaian pentadbiran biasa. Ia telah memasuki ruang yang lebih sensitif dan melibatkan keharmonian masyarakat serta penghormatan terhadap institusi negeri.

KRISIS ADAT DAN INSTITUSI DI NEGERI SEMBILAN

Pertikaian berkaitan adat dan institusi di Negeri Sembilan turut menambahkan tekanan terhadap hubungan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam sebuah negeri yang mempunyai sistem adat yang unik, setiap kenyataan yang menyentuh institusi memerlukan tahap kepekaan yang tinggi.

Namun sepanjang krisis tersebut, DAP dilihat semakin aktif mempertahankan kedudukan politik kerajaan negeri ketika rakyat mengharapkan lebih banyak usaha untuk meredakan ketegangan dan mendamaikan semua pihak yang terlibat.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian pihak melihat krisis institusi yang sepatutnya diselesaikan melalui saluran adat dan perlembagaan akhirnya berkembang menjadi pertarungan politik yang lebih luas.

Dan apabila timbul gelaran 'Undang Loke' maka pemahaman rakyat menjurus ke arah ada dalang di sebalik Menteri Besar yang dilihat memihak?

UPSI: ISU YANG TIDAK PERLU MENJADI POLEMIK

Perhatian awam turut tertumpu kepada tindakan Senator DAP, RA Lingeshwaran, yang menuntut siasatan dijalankan terhadap sebuah poster berkaitan promosi pendaftaran mualaf baharu yang menggunakan nama UPSI.

Tindakan tersebut mencetuskan perdebatan yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.

Malah kenyataan beliau,"Penyebaran agama Islam perlu beretika, tidak wajar libatkan Institusi Pendidikan Awam" menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin UMNO-BN. Beliau telah melanggari garis merah.

Juga sebahagian pihak melihatnya sebagai isu pentadbiran. Sebahagian yang lain mempersoalkan mengapa perkara yang menyentuh sensitiviti agama perlu dibawa ke ruang pertikaian awam sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak.

Dalam negara berbilang kaum dan agama, pendekatan yang berhati-hati sering dianggap lebih penting daripada keghairahan mencipta polemik.

MENGAPA UMNO SEMAKIN TIDAK SELESA?

UEC.

Isu penternakan babi.

Isu Istana Selangor.

Krisis adat Negeri Sembilan.

Kontroversi yang menyentuh agama.

Setiap isu mempunyai latar belakang yang berbeza. Namun kesemuanya membawa kepada satu persepsi yang sama dalam kalangan akar umbi UMNO.

DAP dilihat semakin kerap menyentuh perkara yang sejak awal lagi dianggap sensitif dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Sejak pembentukan kerajaan, UMNO berulang kali menegaskan bahawa kestabilan politik bergantung kepada penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam, adat Melayu serta keseimbangan masyarakat majmuk.

Apabila perkara-perkara tersebut kembali menjadi polemik, rasa tidak selesa dalam kalangan penyokong UMNO menjadi semakin ketara.

DAP MENEKAN, UMNO PULA DIPERSALAHKAN?

Ketegangan mula menjadi lebih jelas apabila setiap reaksi balas daripada UMNO sering ditafsirkan sebagai ancaman kepada Kerajaan Perpaduan.

Jika sesuatu isu dibangkitkan terlebih dahulu oleh pihak tertentu, mengapa pihak yang mempertahankan garis sensitiviti tersebut pula dipersalahkan?

Jika matlamat utama ialah memastikan kestabilan kerajaan, mengapa tindakan yang berpotensi mencetuskan ketegangan terus berulang?

Ramai penyokong UMNO melihat keadaan ini sebagai satu bentuk "gaslighting" politik.

Pihak yang mencetuskan kontroversi akhirnya meletakkan kesalahan kepada pihak yang bertindak balas terhadap kontroversi tersebut.

DAP PUNCA HUBUNGAN UMNO-PH SEMAKIN TEGANG

Hubungan UMNO dan PH tidak menjadi tegang secara tiba-tiba.

Ketegangan itu terbentuk sedikit demi sedikit apabila isu yang dianggap sensitif oleh rakan gabungan terus dibangkitkan, manakala kebimbangan yang disuarakan pula sering diketepikan.

Atas sebab itu, semakin ramai dalam UMNO dan BN melihat bahawa masalah sebenar bukan berpunca daripada reaksi yang diberikan oleh UMNO.

Masalah bermula daripada tindakan yang mencetuskan reaksi tersebut.

Sebab itu dalam kalangan akar umbi UMNO dan BN, satu tanggapan semakin kuat terbentuk.

DAP bukan lagi dilihat sebagai mangsa kepada ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.

DAP semakin dilihat sebagai punca kepada ketegangan itu sendiri.

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال