DALLAS: Kapten England, Harry Kane, menggesa rakan sepasukannya menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki bagi membantu mereka menewaskan Croatia dalam aksi pembukaan Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Dallas, awal pagi esok.
Pengendali England, Thomas Tuchel, memilih skuad yang sarat dengan pemain berprofil atletik dan mereka bakal mendapat peluang pertama untuk mempamerkan kekuatan terbabit di pentas Piala Dunia.
Kekuatan fizikal skuad itu turut diperkukuhkan apabila pertahanan setinggi 1.92 meter (m), Trevoh Chalobah, dipanggil menggantikan Tino Livramento yang mengalami kecederaan.
Ketika ditanya mengenai pesanan terakhirnya kepada pasukan sebelum sepak mula, Kane berkata 'mesejnya adalah bermain dengan penuh kebebasan.
Malah pemain paling rendah dalam skuad itu, Bukayo Saka, Elliot Anderson dan Eberechi Eze, masih memiliki ketinggian sekitar 1.77m.
Pemain bertubuh kecil seperti Phil Foden tidak dipilih apabila England lebih mengutamakan kekuatan fizikal untuk menghadapi cuaca panas di Amerika Syarikat.
Antara pemain yang memiliki fizikal mengagumkan ialah bek kiri setinggi 1.93m, Nico O'Reilly, selain pertahanan simpanan, Dan Burn yang berketinggian 1.98m serta Jarell Quansah dengan 1.9m.
Kane yang memilki ketinggian 1.88m beraksi dalam kejohanan utama keenamnya bersama England dan mahu seluruh pasukan memberikan segala-galanya di atas padang.
Penyerang Bayern Munich itu berkata 'kami berada di sini untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini. Itulah sasaran dan matlamat kami.
"Saya fikir satu-satunya penyesalan yang boleh dirasakan selepas sesuatu kejohanan ialah apabila anda tidak memberikan segalanya.
"Perkara yang akan menghantui anda adalah apabila anda merasakan anda boleh memberikan lebih banyak, bermain dengan lebih bebas dan berani mengambil peluang.
"Apabila anda kecundang, anda tetap kecundang. Tidak kira bagaimana cara anda kalah, keputusannya tetap sama.
"Saya lebih rela kalah selepas memberikan segala-galanya dan mempamerkan kemampuan terbaik saya, sama ada melakukan kesilapan ataupun tidak.
"Mesejnya mudah, bermain dengan bebas dan jangan takut dengan apa juga keputusan. Jika kami melakukannya, kami mempunyai peluang yang sangat baik." -AGENSI
Tags
Sukan

