Marang: Sebuah lagi premis dipercayai dijadikan pusat pendidikan untuk kanak-kanak etnik Rohingya dikesan beroperasi di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payong, di sini.
Terdapat tiga kelas dan didakwa beroperasi di tingkat satu kompleks Majlis Daerah Marang (MDM) sejak 2024.
Kewujudan premis itu bukan sahaja meresahkan penduduk setempat, sebaliknya menimbulkan tanda tanya bagaimanapun ia boleh disewa warga asing.
Namun melalui tinjauan media sejak Jumaat difahamkan operasi di premis itu ditutup sejak 7 Jun lalu.
Bekas pengawal keselamatan, Alias Muda, 69, berkata kehadiran pusat pendidikan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk kampung.
Menurutnya, ibu bapa pelajar hadir untuk menghantar dan mengambil anak mereka dan pernah mencetuskan ketegangan dengan penduduk setempat.
"Pernah berlaku pertengkaran antara etnik Rohingya dengan penduduk setempat selepas mereka ditegur supaya menjaga kebersihan.
"Kanak-kanak itu mencampakkan sampah, termasuk bekas sisa makanan daripada tingkat atas bangunan berkenaan," katanya ketika ditemui hari ini.
Alias berkata, seramai 40 kanak-kanak etnik Rohingya berusia antara tujuh dan 12 tahun mengikuti pengajian di pusat berkenaan dengan tujuh tenaga pengajar yang didakwa penduduk tempatan.
Seorang lagi penduduk, Zaidi Ngah, 56, daripada Kampung Telaga Mengkudu, berkata sikap etnik Rohingya terutama ibu bapa pelajar tidak menghormati penduduk tempatan.
"Mereka seolah-olah mahu menjadikan kawasan sekeliling kompleks sebagai penempatan mereka.
"Pergaduhan antara masyarakat setempat dan etnik Rohingya hampir tercetus apabila mereka membawa kira-kira 50 tayar kenderaan untuk dibina taman permainan di tanah kosong belakang kompleks," katanya.
Azam Muda, 66, juga daripada Kampung Telaga Mengkudu, berkata selain tujuh tenaga pengajar, terdapat seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai guru besar ditugaskan di situ.
Katanya, pelajar terdiri daripada kanak-kanak etnik Rohingya itu dihantar ibu bapa mereka menggunakan kenderaan mewah.
"Kita pernah menegur tenaga pengajar dan guru besar pusat pendidikan itu supaya menasihatkan pelajar supaya menjaga kebersihan dan tidak mencampakkan sampah daripada tingkat atas bangunan berkenaan.
"Tetapi mereka mendakwa sukar untuk menasihatkan pelajar bimbang akan dipecat serta dimarahi ibu bapa mereka," katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan penjelasan daripada Yang Dipertua MDM, Khairil Anuar Sheikh Mahmood, tidak berjaya.
sumber
Tags
Berita

