Malaysia Hot

Selamat Kembali YB Alwiyah Talib ke dalam Perjuangan UMNO - Datuk Waheedah

 


KENYATAAN MEDIA
5 Jun 2026

SELAMAT KEMBALI YB ALWIYAH TALIB KE DALAM PERJUANGAN UMNO

Kami mengalu-alukan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, YB Alwiyah Talib yang membuat keputusan untuk kembali menyertai UMNO setelah mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Keputusan ini membuktikan bahawa UMNO kekal menjadi wadah perjuangan utama orang Melayu dan Bumiputera yang berpaksikan agenda agama, bangsa dan tanah air. Dalam suasana politik yang semakin bercelaru dengan permainan persepsi dan politik kebencian, UMNO masih berdiri sebagai sebuah institusi politik yang mempunyai akar perjuangan, pengalaman pentadbiran serta keupayaan membawa kestabilan kepada rakyat dan negara.

Kami percaya keputusan yang dibuat oleh YB Alwiyah adalah berasaskan pertimbangan demi masa depan rakyat dan pembangunan kawasan DUN Endau. Keutamaan terhadap perpaduan masyarakat, kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik adalah perkara yang amat penting khususnya dalam suasana rakyat mahukan penyelesaian, bukannya pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.

Kemasukan semula YB Alwiyah juga membuktikan bahawa gagasan “UMNO : Rumah Bangsa” yang digerakkan oleh Presiden UMNO benar-benar diterima dan diyakini oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin yang pernah berada di luar parti. Rumah Bangsa bukan sekadar slogan politik, tetapi sebuah ruang penyatuan untuk mereka yang mahu kembali memperjuangkan agenda rakyat secara lebih matang, sederhana dan berteraskan kestabilan.

Kami percaya lebih ramai lagi rakan-rakan di luar parti, termasuk mereka yang pernah bersama UMNO suatu ketika dahulu, akan mengambil ketetapan yang sama untuk kembali bersama perjuangan ini. Pintu UMNO sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ikhlas mahu menyumbang demi agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya perjuangan demi Islam, memperkasa bangsa Melayu dan mendaulatkan Institusi DiRaja tidak pernah terhenti. UMNO akan terus menjadi Rumah Bangsa yang menyatukan kekuatan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih stabil, makmur dan bermaruah.

DATUK WAHEEDAH FARUZ BINTI TELAHAH
Pengerusi Sekretariat Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia
Exco Wanita UMNO Malaysia
Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Selayang


Previous Post Next Post

نموذج الاتصال