Jika gagal diselesaikan maka usaha memulihkan keyakinan pelabur serta memberi tumpuan kepada cabaran sebenar yang dihadapi rakyat seperti kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan akan menghadapi masalah besar.
Dalam keadaan negara memerlukan kestabilan serta kesederhanaan politik, muncul satu persoalan, mengapa isu-isu yang menyentuh sentimen identiti terus dipanaskan ketika rakyat mengharapkan kerajaan memberi fokus kepada agenda pembangunan negara?
Apa yang membimbangkan bukan sekadar isu UEC atau kontroversi berkaitan industri penternakan babi di Selangor. Yang lebih membimbangkan ialah corak politik DAP yang kelihatan berulang. Semakin sokongan politik diuji, semakin kerap isu identiti diketengahkan. Semakin tekanan politik meningkat, semakin banyak isu yang menyentuh sensitiviti komuniti tertentu dibawa ke hadapan. Corak ini berlaku terlalu kerap sehingga sukar dianggap sebagai satu kebetulan.
Semuanya nampak jelas apabila DAP kalah teruk di Pilihanraya Negeri Sabah.
Dalam isu UEC, DAP dilihat seolah-olah membawa naratif bahawa tiada kemajuan pernah dicapai sebelum ini. Sedangkan realitinya, pelbagai mekanisme kemasukan bersyarat ke institusi pengajian tinggi telah lama diwujudkan dan dilaksanakan di zaman Barisan Nasional. Pendekatan yang mengambil kira kepentingan semua pihak juga telah menjadi sebahagian daripada dasar pentadbiran negara sejak sekian lama.
Keadaan ini menimbulkan tanda tanya mengapa isu yang telah mempunyai kerangka penyelesaian masih perlu dipanaskan semula. Jika matlamatnya benar-benar untuk menyelesaikan masalah, isu tersebut sepatutnya semakin reda, bukannya kembali menjadi bahan kempen politik.
DAP juga sering menampilkan imej seolah-olah merekalah satu-satunya pihak yang memperjuangkan isu tersebut. Pendekatan seperti ini mungkin memberi kelebihan politik kepada parti berkenaan, namun pada masa yang sama mewujudkan persepsi bahawa isu yang hampir selesai sengaja dipanjangkan bagi memastikan DAP terus dilihat sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan isu tersebut.
Corak yang sama dapat dilihat dalam kontroversi melibatkan industri penternakan babi di Selangor. Ketika kerajaan sepatutnya berusaha meredakan keadaan dan mencari penyelesaian yang seimbang, perhatian awam tertumpu kepada tindakan Lim Guan Eng yang tampil dalam program jualan daging babi secara terbuka dan berskala besar. Tindakan tersebut mengundang pelbagai reaksi serta menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar yang ingin disampaikan kepada rakyat. Dalam suasana yang memerlukan kebijaksanaan serta kepekaan terhadap sensitiviti masyarakat majmuk, mengapa pendekatan yang berpotensi mencetuskan polemik dipilih? Mengapa mesej politik kelihatan lebih menonjol daripada usaha membina persefahaman?
Rakyat tidak menolak hak mana-mana komuniti. Rakyat juga tidak menolak kepelbagaian budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia. Apa yang mula dipersoalkan ialah kecenderungan menjadikan isu sensitif sebagai modal politik ketika negara memerlukan kestabilan. Keadaan inilah yang menyebabkan semakin ramai melihat bahawa DAP sedang bergerak di atas gelanggang politik identiti ketika negara memerlukan politik penyelesaian.
Setiap kali sokongan mula dipersoalkan, isu identiti kembali diketengahkan. Setiap kali tekanan politik meningkat, sentimen komuniti tertentu kembali digerakkan. Setiap kali kedudukan politik dicabar, polemik baharu muncul dan mengambil alih perbincangan awam. Corak sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan antara kaum, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap agenda perpaduan yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
DAP sering bercakap mengenai perpaduan nasional dan kepentingan hidup bersama dalam sebuah masyarakat majmuk. Ukuran sebenar perpaduan bagaimanapun tidak terletak pada slogan atau kenyataan media. Ukuran sebenar terletak pada tindakan. Apabila isu yang berpotensi mencetuskan ketegangan terus dipanaskan, apabila sentimen identiti terus dijadikan modal politik dan apabila rakan-rakan dalam kerajaan terpaksa menanggung kesan daripada tindakan tersebut, maka kredibiliti keseluruhan Kerajaan Perpaduan turut terjejas.
Kesan paling besar bukan hanya terhadap hubungan antara kaum. Kesan paling besar ialah terhadap keyakinan rakyat terhadap kerajaan itu sendiri. Setiap kali isu identiti dipanaskan, setiap kali polemik yang tidak perlu dicipta dan setiap kali sentimen komuniti dijadikan senjata politik, keyakinan rakyat terhadap agenda perpaduan nasional semakin terhakis.
Rakyat akhirnya akan bertanya adakah Kerajaan Perpaduan sedang dipandu oleh agenda nasional yang menyatukan rakyat atau sedang dipaksa mengikut rentak politik identiti yang dimainkan oleh parti tertentu?
DAP mungkin memperoleh keuntungan politik jangka pendek daripada strategi sedemikian. Kos politik sebenar pula terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Perpaduan dalam bentuk kepercayaan rakyat yang semakin menipis, hubungan antara kaum yang semakin sensitif serta persepsi bahawa agenda nasional sering diketepikan demi kepentingan politik sempit.
DAP sering meminta semua pihak menghormati semangat perpaduan. Rakyat juga berhak meminta perkara yang sama daripada DAP. Jika perpaduan benar-benar menjadi matlamat utama, mengapa politik identiti terus dihidupkan? Itulah soalan yang semakin sukar dijawab oleh DAP hari ini.

