SANDAKAN: Seorang pemuda warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang wanita warga emas pada awal pagi Mac lalu.
Tertuduh, Alimanja Arioski, 19, didakwa merogol mangsa rakyat tempatan berusia 61 tahun di sebuah kediaman di Batu 7, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi 21 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pemuda itu mengaku bersalah, namun Hakim Roslinda Razali tidak menerima pengakuan tertuduh hingga laporan perubatan lengkap diterima.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang tiada pengenalan diri, didakwa memasuki rumah warga emas itu melalui tingkap dan mengugut mangsa dengan menggunakan gunting sebelum mencekik, menumbuk muka serta mengikat tangannya sehingga mengalami kecederaan.
Pemuda itu didakwa merogol mangsa serta mengambil barang kemas membabitkan seutas gelang emas dan dua telefon bimbitnya sebelum melarikan diri, menyebabkan wanita berkenaan mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000.
Terdahulu di mahkamah sama, semalam, Roslinda menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan ke atas Alimanja selepas tertuduh mengaku bersalah merompak serta mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sama.
Roslinda memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan pada 21 Mac lalu.
Hakim turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia sebaik saja selesai menjalani hukuman nanti.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sumber.
Tags
Jenayah

