Malaysia Hot

Waris Klana di Hilir Bantah Pelantikan YTM Dato' Klana Petra Ke-11, Dakwa Proses Bertentangan Adat Teromba


SEREMBAN, 29 Jun – Sekumpulan Waris Klana di Hilir Kampung Godang, Luak Sungai Ujong tampil mengemukakan bantahan rasmi terhadap pelantikan Muhammad Faris bin Johari sebagai penyandang Pesaka Undang Luak Sungai Ujong, YTM Dato' Klana Petra Ke-11.

Bantahan tersebut dinyatakan menerusi satu kenyataan bertarikh 28 Jun 2026 yang ditandatangani oleh wakil Waris Klana di Hilir, termasuk Ibu Soko Kanan, Ibu Soko Nan Tuo dan Waris Nan Tuo Kampung Godang.

Dalam kenyataan itu, mereka menyatakan bahawa pelantikan berkenaan tidak memenuhi beberapa syarat adat yang diperuntukkan di bawah Aturan Adat Memilih Waris Dato' Klana Petra, khususnya merujuk kepada Fasal 27 Teromba Luak Sungai Ujong.

Menurut mereka, pihak Waris Klana di Hulu didakwa tidak mengadakan majlis kerapatan bagi memilih benih baharu serta tidak memperoleh kebulatan persetujuan di peringkat Luak sebelum pelantikan dibuat.

Selain itu, kenyataan tersebut turut membangkitkan prinsip pesaka bergilir sebagaimana yang terkandung dalam adat Teromba. Mereka berhujah bahawa apabila sesuatu pesaka tidak lagi disandang, pemilihan sepatutnya kembali mengikut aturan giliran antara Waris Klana di Hulu dan Waris Klana di Hilir.




Waris Klana di Hilir juga mendakwa salasilah keturunan Muhammad Faris bin Johari masih menjadi persoalan kerana menurut mereka, perkara itu belum diperakukan melalui proses kerapatan adat.

Dalam bantahan sama, mereka menyatakan bahawa Istiadat Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga didakwa tidak dimaklumkan kepada Waris Klana di Hilir sebelum pelantikan tersebut berlangsung.

Kenyataan itu turut mengaitkan pertikaian terhadap tindakan penyandang terdahulu, Dato' Klana Petra Ke-10, yang menurut mereka telah menimbulkan beberapa isu sehingga proses pelantikan benih baharu turut dipersoalkan.

Sehubungan itu, Waris Klana di Hilir mendakwa pelantikan tersebut telah melanggar Aturan Adat Luak, khususnya Fasal 27 Teromba, dan secara tidak langsung mengelirukan pihak Istana berhubung proses pelantikan berkenaan.

Mereka turut memohon agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, selaku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, mempertimbangkan semula keputusan yang dizahirkan pada 26 Jun 2026, serta menilai semula kesahan Istiadat Zahir Kejadian yang berlangsung pada 27 Jun 2026.

Menurut kenyataan itu lagi, matlamat bantahan tersebut adalah bagi memastikan adat yang diamalkan di Luak Sungai Ujong kembali tersusun serta mengembalikan permuafakatan dalam kalangan waris.

Pada akhir kenyataan, Waris Klana di Hilir memaklumkan bahawa mereka akan mengeluarkan satu surat bantahan rasmi kepada pihak-pihak berkaitan dan pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Setakat kenyataan itu dikeluarkan, tiada sebarang maklum balas rasmi daripada pihak Waris Klana di Hulu atau pihak Istana Negeri Sembilan berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh Waris Klana di Hilir.






Previous Post Next Post

نموذج الاتصال