Malaysia Hot

Zul Handy Black pernah diisytihar muflis


PUTRAJAYA: Penyanyi Zul Handy Black, mengakui pernah disytihar muflis akibat tunggakan cukai pendapatan sehingga menjejaskan peluang mendapat tawaran persembahan di Singapura.

Zul atau nama sebenar, Nurzul Suphia'an Sa'aban, 51, berkata notis kebankrapan dikeluarkan kepadanya pada era 1990-an, iaitu ketika karier seni memuncak di mana ketika itu, individu yang mempunyai hutang melebihi RM10,000 boleh diisytiharkan muflis.

"Pada zaman 1990-an dahulu, jika hutang melebihi RM10,000, seseorang boleh diisytiharkan bankrap. Kes saya sudah lama berlaku. Apabila kita lambat mencari jalan penyelesaian, proses itu mengambil masa yang panjang.

"Sekarang, apabila disemak semula, kes ini dikira sebagai hutang lapuk. Cuma, untuk keluar negara, kita perlu hadir ke Jabatan Insolvensi bagi mendapatkan pengesahan baharu bahawa kita sebenarnya sudah bebas daripada status itu.

"Ramai dalam kalangan generasi lama tidak tahu perkara ini. Mungkin pada suatu tahap, kes mereka sudah dianggap selesai, tetapi mereka masih menyangka tidak boleh ke luar negara.

"Sedangkan mereka boleh berbuat demikian, cuma perlu mendapatkan pengesahan bahawa mereka sudah bebas daripada masalah berkenaan," katanya ketika ditemui pada sidang media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di Jabatan Undang-Undang Malaysia di sini, baru-baru ini.

Zul yang popular dengan lagu Kau Yang Bernama Seri lega selepas mengetahui status sebenar kes terbabit kerana sebelum ini dia sentiasa bimbang untuk ke luar negara, termasuk bagi menunaikan ibadat haji.

Tambah Zul, individu yang pernah diisytiharkan muflis sebelum ini perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Insolvensi serta menyediakan bon sebagai jaminan sebelum dibenarkan ke luar negara.

"Kita perlu hadir ke Jabatan Insolvensi dan menyediakan bon sebagai jaminan untuk keluar negara. Selepas pulang, jumlah bon itu akan dipulangkan semula mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Sekarang mungkin ada jalan penyelesaian yang lebih baik menerusi karnival yang bakal berlangsung ini, termasuk peluang kedua yang diperkenalkan. Sebagai artis, isu cukai pendapatan memang agak sukar untuk diselesaikan.

"Kadangkala kami perlu mengemukakan penyata kewangan, resit perbelanjaan dan mengisytiharkan pendapatan daripada persembahan kepada Jabatan Insolvensi bagi menyelesaikan masalah ini kerana kami tidak mempunyai slip gaji atau pendapatan tetap," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Zul menggesa orang ramai, khususnya mereka yang berdepan masalah kewangan dan hutang, supaya menghadiri Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi yang akan berlangsung di enam lokasi di seluruh negara, bermula di sini, mulai Jumaat depan hingga Ahad.

Zul berkata, program itu dianggap platform terbaik untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelbagai pembaharuan dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu individu berdepan isu kebankrapan.

"Jabatan Insolvensi adalah tempat untuk membantu menyelesaikan masalah hutang, bukannya pihak yang mengisytiharkan seseorang bankrap," katanya.

Sumber.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال