Malaysia Hot

1MDB: Amerika Syarikat Pulangkan Aset Bernilai Lebih AS$1.37 Bilion kepada Malaysia - Azalina





Kuala Lumpur 19 Julai: Aset bernilai lebih AS$1.37 bilion yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah dipulangkan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia setakat ini, kata Dato Sri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, jumlah tersebut berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Selain aset yang telah dipulangkan, sejumlah besar dana dan aset yang dikaitkan dengan 1MDB masih ditahan, dibekukan atau tertakluk kepada prosiding pelucuthakan di Amerika Syarikat serta beberapa bidang kuasa asing yang lain,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong), yang meminta penjelasan mengenai jumlah wang dan aset hasil penyelewengan dana 1MDB yang telah dipulangkan oleh Amerika Syarikat setakat ini, serta jumlah yang masih ditahan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

Mengenai nilai tepat dana dan aset yang masih ditahan, dibekukan atau tertakluk kepada prosiding pelucuthakan, Azalina berkata jumlah tersebut belum dapat ditentukan secara tepat pada masa ini.

Beliau berkata, keadaan itu bergantung pada perkembangan prosiding undang-undang yang sedang berjalan serta turun naik nilai pasaran aset dari semasa ke semasa.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال