Malaysia Hot

‘Ada sesuatu yang tak kena dalam kerjasama BN-PH’

 

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Subang, di Shah Alam,


Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpandangan terdapat sesuatu yang tidak kena dalam kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor minggu lalu merupakan isyarat jelas daripada rakyat bahawa kerjasama tersebut perlu dinilai semula.

"Kita sudah beri peluang kepada PH selama empat tahun. Hari ini kita pula bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan kerjasama ini. Bukan sedikit, tetapi banyak," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Subang pada ahad malam.

Khairy berkata, UMNO sebelum ini telah berkali-kali mengingatkan agar beberapa isu sensitif tidak dibangkitkan oleh rakan dalam kerajaan, namun peringatan tersebut tidak diendahkan.

"Kita sudah banyak kali cakap, jangan sentuh perkara itu, jangan sentuh perkara ini. Jangan buat kenyataan seperti itu, tetapi ia tetap berlaku dan kita tidak mempunyai banyak pilihan," katanya.

Beliau menyifatkan keputusan PRN Johor sebagai amaran pertama kepada kerajaan. Menurutnya, jika mesej itu masih gagal difahami, PRN Melaka bakal menjadi amaran kedua, manakala Pilihan Raya Umum (PRU) akan menjadi penentu sebenar.

Dalam ucapannya, Khairy turut menegaskan bahawa UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada kekuatan di kawasan luar bandar semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi bandar.

Katanya, lebih 80 peratus rakyat Malaysia termasuk orang Melayu kini menetap di kawasan bandar, manakala kawasan luar bandar dan pedalaman semakin berkurangan penduduk akibat penghijrahan golongan muda.

"Cabaran UMNO hari ini berbeza. Kita perlu menjual harapan kepada orang Melayu bandar bahawa anak-anak mereka mampu berjaya, menjadi jutawan, jurutera atau pakar kecerdasan buatan (AI).

"Jika kita gagal menawarkan impian itu, UMNO akan terus berdepan kesukaran untuk mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu di bandar," katanya.

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال