Malaysia Hot

Azalina Pertimbang Pinda Undang-Undang Susulan Aduan Buli di Sekolah Antarabangsa


Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda Akta Antibuli 2026 bagi memasukkan secara jelas sekolah antarabangsa di bawah bidang kuasa Tribunal Antibuli, susulan aduan yang diterima melibatkan institusi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said berkata tribunal itu telah menerima pertanyaan rasmi serta aduan berkaitan dakwaan kes buli di sekolah antarabangsa sejak ia mula beroperasi pada 16 Jun lalu.

Bagaimanapun, semakan perundangan awal mendapati masih wujud ketidakpastian sama ada sekolah antarabangsa termasuk dalam skop Akta Antibuli 2026 (Akta 876), walaupun Bahagian III akta tersebut terpakai kepada institusi pendidikan yang ditubuhkan atau didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996.

"Masih timbul persoalan dari sudut undang-undang sama ada sekolah antarabangsa termasuk dalam kategori institusi pendidikan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta 876.

"Perkara ini boleh menimbulkan pertikaian mengenai bidang kuasa tribunal untuk mendengar aduan buli yang melibatkan pelajar sekolah antarabangsa," katanya ketika sesi Kamar Khas di Parlimen.

Azalina berkata beliau bersedia membentangkan pindaan kepada Jadual Pertama Akta 876 sekiranya hasil kajian perundangan mendapati penjelasan lanjut diperlukan bagi menghapuskan sebarang kekaburan mengenai bidang kuasa tribunal.

"Sekiranya kajian lanjut mendapati pindaan perlu dibuat bagi memperjelaskan skop akta ini, saya bersedia mengemukakan pindaan yang bersesuaian bagi mengelakkan pertikaian bidang kuasa pada masa hadapan," katanya.

Akta Antibuli 2026 mula berkuat kuasa pada 16 Jun 2026, memperkenalkan tanggungjawab undang-undang kepada pihak ketiga termasuk pentadbir sekolah, majikan dan ibu bapa yang gagal mengambil tindakan terhadap kejadian buli.

Akta itu turut menubuhkan Tribunal Antibuli sebagai badan khas untuk mendengar aduan menggunakan pendekatan keadilan restoratif.

Menurut Azalina, tribunal itu turut menerima aduan melibatkan sekolah agama negeri. Namun, sebahagian daripada sekolah tersebut didapati tidak ditubuhkan atau didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996, sekali gus menimbulkan isu bidang kuasa yang sama.

Beliau berkata kerajaan juga boleh mempertimbangkan pindaan kepada Seksyen 29 atau Jadual Pertama dan Jadual Kedua Akta 876 sekiranya kajian lanjut mengenal pasti sebarang kelemahan atau kelompongan dalam undang-undang sedia ada.

Previous Post Next Post

نموذج الاتصال