KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang, selepas cadangan pindaan undang-undang itu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja, kata Dato' Sri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu telah membentangkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pindaan yang telah diperhalusi terhadap cadangan undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat pada Selasa, 14 Julai.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya menggunakan Peraturan Mesyuarat 62 untuk memohon supaya prosiding bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 ditangguhkan dan disambung semula pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
“Kerajaan berhasrat untuk mengemukakan pemakluman kepada Majlis Raja-Raja berhubung cadangan pindaan lanjut yang dibentangkan hari ini.
“Langkah ini diambil sebagai tanda penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan serta bagi memastikan proses reformasi perlembagaan ini dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab, selaras dengan amalan perlembagaan negara,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan berhasrat meneruskan bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, termasuk proses perbahasan dan pembuatan keputusan, pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang selepas Majlis Raja-Raja dimaklumkan mengenai cadangan pindaan tersebut, tambah beliau.
Azalina berkata, beberapa kebimbangan telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen sejak laporan jawatankuasa berkenaan dibentangkan.
Antaranya ialah peranan Parlimen yang terhad dalam proses pelantikan Pendakwa Raya, apabila Dewan Rakyat hanya dimaklumkan mengenai calon yang dicadangkan.
Bagi menangani perkara itu, kerajaan akan memperkenalkan pindaan lanjut terhadap Fasal (18) Perkara 145A bagi memperkukuh peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
“Pindaan ini merupakan hasil pertimbangan terhadap pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah Dewan, pakar undang-undang, badan profesional serta pertubuhan masyarakat sivil, dan telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
“Di bawah cadangan pindaan ini, nama calon Pendakwa Raya hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di hadapan Dewan.
“Calon berkenaan kemudiannya akan diteliti oleh sebuah Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum Dewan Rakyat mengemukakan syor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
“Selaras dengan syor tersebut, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong hanya berhubung nama calon yang disyorkan oleh Dewan Rakyat,” tambahnya.
Beliau berkata, pindaan itu mencerminkan keterbukaan kerajaan untuk menerima cadangan dalam usaha meneruskan reformasi institusi.
Memandangkan rang undang-undang tersebut melibatkan pindaan Perlembagaan, ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.
Rang undang-undang itu telah dirujuk kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan yang dianggotai 12 ahli selepas bacaan kali keduanya pada Mac lalu.
Tags
Berita

