Malaysia Hot

Pelajar 15 tahun direman empat hari kes tikam rakan sekolah


BANTING: Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah di sini semalam, direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, perintah reman terhadap remaja berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Majistret Teluk Datok pada Selasa.


"Reman dibenarkan ke atas suspek selama empat hari, dari 7 Julai 2026 hingga 10 Julai 2026," katanya.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok, di sini, bagi permohonan reman pada pagi Selasa.

Difahamkan, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.10 pagi menaiki lori polis dalam keadaan kawalan ketat anggota polis dan meninggalkan mahkamah menaiki kenderaan Perodua Aruz berwarna kelabu pada jam 9 pagi.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, pekarangan mahkamah dikawal ketat oleh anggota keselamatan dan pengamal media tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Isnin, mangsa yang merupakan pelajar perempuan tingkatan tiga dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian paru-paru selain terdapat kira-kira 16 kesan luka tikaman pada badannya.

Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, meluahkan rasa kesal terhadap insiden berkenaan dan menggesa pihak sekolah agar memperketatkan tahap keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Katanya, suspek dipercayai merupakan rakan sekelas anaknya ketika di tingkatan dua dan difahamkan remaja itu kini sedang dalam tempoh cuti bagi menjalani rawatan kesihatan.

"Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendapati terdapat beberapa panggilan tidak dijawab daripada pihak sekolah ketika saya sedang bekerja," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan suspek telah ditahan pihak polis sejurus selepas kejadian, manakala mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Banting.

Menurut kenyataan itu lagi, suspek dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama sebelum ditenangkan oleh guru-guru sekolah berkenaan sebelum pihak polis tiba di lokasi.

Tular satu rakaman video di media sosial pada Isnin memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau, dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili suspek, Vijeswari Devi Suppiah memaklumkan, anak guamnya itu merupakan orang kelainan upaya (OKU) autisme.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال