Jika surat ini sahih, isu sebenar bukan lagi mengenai debat tetapi penggunaan jentera kerajaan dalam sebuah program yang mempunyai kepentingan politik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Surat rasmi Jabatan Penerangan Negeri Johor bertarikh 8 Julai 2026 menjemput ke Dialog Pilihan Raya Negeri Johor di Auditorium RTM Johor. Bukan sekadar jemputan, surat itu turut menetapkan kuota kehadiran daripada pelbagai agensi kerajaan, GLC dan rangkaian Komuniti MADANI, melibatkan kira-kira 200 peserta.
Rakyat persoalkan mengapa sebuah program berkaitan PRN memerlukan mobilisasi agensi kerajaan untuk memenuhi dewan?
Lebih menghairankan, program itu tetap diteruskan walaupun Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan tidak akan menyertainya. Jika tujuan asal ialah mempertemukan kedua-dua tokoh, mengapa program itu masih dipaksakan?
Pakatan Harapan suatu ketika dahulu lantang menuntut pemisahan antara kerajaan dan parti politik. Mereka mengecam penggunaan aset kerajaan, menegaskan penjawat awam mesti berkecuali serta menolak penggunaan wang rakyat untuk kepentingan politik.
Kini rakyat menunggu sama ada prinsip itu masih dipertahankan.
Jika benar kemudahan kerajaan dan rangkaian agensi awam digunakan bagi menjayakan program ini, persepsi yang timbul ialah kerajaan sedang menggunakan kelebihan pentadbiran untuk kepentingan politik. Malah, timbul persoalan sama ada usaha menggerakkan agensi kerajaan dilakukan kerana bimbang sambutan orang ramai tidak mencukupi.
Tiada siapa mempertikaikan hak menganjurkan dialog. Yang dipersoalkan ialah penggunaan sumber kerajaan.
Jika program ini dibiayai parti politik, nyatakan secara terbuka. Jika RTM, Jabatan Penerangan dan agensi kerajaan hanya menjalankan fungsi rasmi mengikut peraturan, jelaskan kepada rakyat. Jika semuanya mematuhi undang-undang serta garis panduan SPR, kemukakan fakta.
Apa yang jelas, Maszlee sudah hilang arah mencari titik sokongan tertinggi. Pakatan Harapan pula nampaknya jauh ditinggalkan oleh UMNO-BN serta pesaing yang lain kerana semua strategi nampaknya tidak menjadi.
Anwar yang turun membantu kempen dengan gaya panas baran langsung tidak membantu.
Apa lagi yang mampu mereka hidangkan kepada rakyat?




.jpeg)

