Dua hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memperlihatkan perubahan yang cukup ketara dalam gaya politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Daripada tampil sebagai seorang Perdana Menteri yang sepatutnya mempertahankan rekod pentadbiran kerajaan, beliau dilihat kembali menggunakan pendekatan retorik yang mengingatkan rakyat kepada era ketika memimpin pembangkang lebih sedekad lalu.
Pentas ceramah yang sepatutnya menjadi ruang menjelaskan dasar, pencapaian kerajaan dan hala tuju ekonomi negara bertukar menjadi medan serangan terhadap lawan politik. Nada ucapan semakin keras, bahasa semakin emosional dan fokus semakin jauh daripada persoalan yang benar-benar membelenggu kehidupan rakyat. Anwar seolah tidak stabil kewarasan politiknya.
Menurut penganalisis politik Johor, mengapa seorang Perdana Menteri masih perlu berkempen seperti seorang ketua pembangkang?
Penganalisis politik turut melihat kempen Anwar kali ini lebih tertumpu kepada menyerang personaliti lawan berbanding mempertahankan pencapaian kerajaan sendiri. Dalam lebih 10 program kempen yang dihadiri dalam masa dua sehari di Johor, sasaran utama beliau ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Pendekatan ini memberi gambaran bahawa kempen Pakatan Harapan di Johor lebih bergantung kepada pembinaan persepsi dan sentimen berbanding menawarkan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pelaburan, gaji, perumahan dan pembangunan negeri.
Lebih menarik perhatian, Najib Razak terus menjadi watak utama dalam hampir setiap siri ceramah Anwar. Naratif yang sama turut diulang oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan termasuk DAP dan AMANAH.
Keadaan ini mengundang persoalan sama ada isu-isu besar yang melibatkan negara semakin diketepikan demi memenuhi keperluan naratif politik pilihan raya.
Lebih mengejutkan apabila Menteri Besar Johor turut menjadi sasaran serangan peribadi.
Gelaran seperti "budak" dan dakwaan bahawa Onn Hafiz "tidak cerdik” bukan sahaja mencetuskan kontroversi, malah menimbulkan persoalan mengenai tahap wacana politik yang ingin dibawa oleh seorang Perdana Menteri.
Rakyat Johor melihat gaya politik Anwar yang sepatutnya menawarkan penyelesaian dan alternatif kepada rakyat di sini akhirnya lebih banyak tertumpu kepada mencipta sensasi berbanding membina keyakinan.
Lebih membimbangkan, kempen Anwar kali ini turut dilihat semakin defensif. Daripada menjawab persoalan rakyat mengenai prestasi kerajaan, pentas ceramah lebih banyak digunakan untuk menjelaskan mengapa pihak lain kononnya bersalah. Pendekatan sebegini memberi gambaran seolah-olah Anwar sedang berkempen untuk menjual persepsi, bukannya mempamirkan rekod pentadbirannya di pusat.
Gaya kempen yang dipamerkan di Johor juga mengingatkan ramai kepada era demonstrasi jalanan dan slogan "Reformasi" ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang dan ketika beliau belum diheret ke penjara.
Apa yang membezakan hanyalah ketika itu Anwar berada di bangku pembangkang dan sedang berusaha mendapatkan mandat rakyat. 1001 janji dibuat dan hampir kesemuanya tidak tertunai dan hari ini beliau ialah Perdana Menteri Malaysia.
Pakar ekonomi tempatan turut mempersoalkan sepatutnya seorang Perdana Menteri lazimnya mempertahankan dasar, rekod pentadbiran dan pencapaian kerajaannya. Bukannya terpekik di atas pentas ceramah politik.
Satu lagi, mengapa kempen Pakatan Harapan di Johor begitu bergantung kepada Anwar Ibrahim?
Tokoh-tokoh utama PH yang sebelum ini lantang di pentas politik kelihatan kurang menyerlah. Akibatnya, hampir setiap isu dan setiap serangan terpaksa dipikul sendiri oleh Perdana Menteri.
Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa kempen PH bukan lagi digerakkan secara kolektif, sebaliknya terlalu bergantung kepada seorang individu untuk menarik perhatian pengundi.
Lebih menarik, reaksi di media sosial menunjukkan kempen kali ini tidak menerima sambutan yang sepenuhnya positif.
Ramai pengguna media sosial mempersoalkan mengapa seorang Perdana Menteri memilih untuk terus menyerang lawan politik berbanding menjelaskan pencapaian kerajaan.
Dalam pelbagai hantaran dan ruangan komen, istilah "Road To XPM" mula digunakan sebagai sindiran terhadap gaya kempen yang dianggap semakin defensif dan emosional.
Istilah tersebut akhirnya menjadi antara naratif yang paling banyak diperkatakan sepanjang kempen, sekali gus mencerminkan bagaimana sebahagian pengguna media sosial melihat perubahan pendekatan politik Perdana Menteri.
Bayangkan, komen netizen sangat negatif terhadap beliau, pelbagai hujah yang dilontar tidak diterima rakyat malah dikecam dan hasilnya 32% dari komen netizen menyelar bahawa ini bukan sikap seorang Perdana Menteri, manakala 26% telah menggunakan istilah “Road to XPM”.
Today PMX. Tomorrow XPM? Jawapannya kini berada di tangan Bangsa Johor.

