Malaysia Hot

Zahid Dijadikan “Hantu Politik” Untuk Menyelamatkan PH


Pakatan Harapan berdepan ujian getir dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan, Tony Pua kembali membawa formula politik yang sudah lama menjadi senjata DAP iaitu dengan menakutkan pengundi dengan bayangan tentang siapa yang mungkin menjadi Perdana Menteri.

Dalam sebuah majlis kutipan dana DAP di Petaling Jaya pada 17 Julai 2026, Tony Pua dilaporkan menyeru rakyat supaya terus mengundi Pakatan Harapan pada PRU16. Amaran beliau mudah, sekiranya pengundi memilih parti lain, tidak keluar mengundi atau memberikan undi kepada parti yang dilabelnya sebagai “pengacau”, Barisan Nasional akan mendapat kelebihan dan Ahmad Zahid Hamidi mungkin menjadi Perdana Menteri.

Kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri Johor telah mengubah landskap politik negara. BN memenangi 48 daripada 56 kerusi, manakala PH hanya memperoleh lapan kerusi. Keputusan itu bukan sekadar kemenangan sebuah kerajaan negeri tetapi isyarat bahawa penguasaan politik PH tidak lagi boleh dianggap kebal.

Di Negeri Sembilan pula, prestasi kerjasama pilihan raya antara BN dan PN dijangka menentukan sama ada persefahaman itu akan diteruskan ke Melaka dan PRU16. Ahmad Zahid sendiri mengakui keputusan Negeri Sembilan akan menjadi ukuran terhadap masa depan jajaran tersebut. Tiada perjanjian pembentukan parti gabungan, yang wujud adalah persefahaman antara BN dan PN agar tiada pertembungan di kerusi yang bertanding.

Inilah ketakutan sebenar yang sedang menghantui PH.

Bukan semata-mata ketakutan bahawa Zahid akan menjadi Perdana Menteri tetapi kebimbangan bahawa satu jajaran politik baharu sedang terbentuk dan berpotensi menamatkan penguasaan PH pada pilihan raya umum akan datang.

Apabila rekod pentadbiran tidak lagi cukup meyakinkan, maka nama Zahid dijadikan “hantu politik” untuk menakutkan rakyat.

Tony Pua dan penyokongnya mungkin mahu mengaitkan Zahid dengan kes mahkamah. Namun fakta perundangan tidak boleh dipilih mengikut kesesuaian politik.

Dalam kes Yayasan Akalbudi, Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan pada September 2023. Pada 8 Januari 2026, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada tindakan lanjut selepas menyatakan bahawa bukti yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan. Permohonannya untuk mendapatkan pembebasan penuh masih melalui proses mahkamah.

Keputusan tersebut boleh diperdebatkan. Prosesnya boleh dikritik. Namun Zahid tidak boleh digambarkan sebagai seorang yang telah disabitkan bersalah dalam kes berkenaan kerana tiada sabitan mahkamah terhadapnya.

Pada masa yang sama, PH tidak boleh berpura-pura bahawa sejarah undang-undang pemimpinnya sendiri tidak pernah wujud.

Anwar Ibrahim pernah dipenjarakan sebelum menerima pengampunan diraja penuh dan dibebaskan pada 16 Mei 2018. Anwar sejak awal menegaskan bahawa kes-kes terhadapnya bermotifkan politik, dan pengampunan tersebut membolehkannya kembali ke arena politik serta Parlimen.

Sekiranya PH meminta rakyat menilai sejarah Anwar dengan melihat konteks politik, proses undang-undang dan pengampunan diraja, prinsip keadilan yang sama wajib diberikan kepada lawan politik mereka.

Tidak boleh satu pihak diberikan konteks, manakala pihak lain terus dihukum melalui propaganda.

Dari sudut pengalaman pentadbiran, Zahid bukan tokoh yang muncul semalam.

Beliau pernah mengendalikan beberapa kementerian penting, memimpin sebuah parti nasional, mengetuai Barisan Nasional dan kini berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Rekodnya boleh dikritik, namun pengalaman serta keupayaannya mengurus organisasi besar tidak boleh dipadam hanya dengan laungan politik Tony Pua.

Lebih ironis, Zahid yang digambarkan sebagai ancaman itulah yang menjadi antara tonggak utama pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

PH menerima sokongan UMNO dan BN untuk membolehkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. DAP pula duduk bersama Zahid dalam kerajaan yang sama.

Ketika memerlukan nombor untuk membentuk kerajaan, Zahid dianggap rakan strategik.

Apabila pilihan raya tiba dan sokongan PH merosot, Zahid tiba-tiba dijadikan ancaman kepada negara.

Tony Pua berhak menyokong PH. Beliau juga berhak mempertahankan Anwar Ibrahim.

Namun rakyat turut berhak bertanya mengapa pilihan raya perlu dijadikan referendum tentang ketakutan terhadap Zahid, bukannya penilaian terhadap pencapaian PH sendiri.

Mengapa tidak bercakap tentang prestasi kerajaan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan rakyat, mutu perkhidmatan awam dan janji reformasi?

Mengapa setiap kali PH berdepan risiko kekalahan, rakyat diminta memilih bukan kerana keyakinan tetapi kerana ketakutan?

Negeri Sembilan tidak sepatutnya dijadikan pentas untuk menakut-nakutkan pengundi tentang siapa yang mungkin menjadi Perdana Menteri selepas PRU16.

Pilihan raya negeri adalah tentang siapa yang mampu mentadbir Negeri Sembilan dengan lebih cekap, stabil dan dekat dengan rakyat.

Tony Pua boleh terus menjual ketakutan. Namun semakin kuat beliau menakut-nakutkan rakyat tentang Zahid, semakin jelas bahawa PH sendiri sedang ketakutan kehilangan kuasa.

Di Johor, DAP menggunakan Najib untuk meraih undi, di Negeri Sembilan, Zahid pula dijadikan modal kempen.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال