
KUALA LUMPUR, 10 September 2026 – Wanita UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada sejarah, nostalgia atau kekuatan jentera semata-mata untuk menghadapi pilihan raya akan datang, sebaliknya perlu memenangi semula kepercayaan rakyat sebagai asas kepada kebangkitan parti.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, menegaskan kemenangan politik yang sebenar bukan sekadar tercermin di peti undi, tetapi bermula jauh lebih awal apabila rakyat kembali yakin bahawa UMNO memahami keresahan mereka, mampu membela kepentingan mereka dan mempunyai jawapan terhadap masa depan keluarga serta negara.
Dalam Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini, Noraini membawa tema “Menang Kepercayaan, Pimpin Masa Depan” sebagai arah baharu perjuangan Wanita UMNO.
Menurut beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan menjadi bukti bahawa pintu kepercayaan rakyat terhadap parti itu mula terbuka semula.
Johor, Negeri Sembilan cetus gelombang baharu
Noraini menyifatkan kemenangan BN di Johor sebagai perkembangan amat membanggakan apabila BN memenangi 48 daripada 56 kerusi, manakala UMNO menang 36 daripada 37 kerusi yang ditandingi.
Sebagai anak Johor, beliau berkata kemenangan itu memberikan kebanggaan, khususnya terhadap kerja keras seluruh jentera yang turun padang siang dan malam.
Namun, beliau mengingatkan kemenangan tersebut bukan alasan untuk berasa selesa atau mendabik dada.
“Kemenangan ini bukan untuk kita mendabik dada. Ini amanah rakyat.”
Negeri Sembilan kemudian menyambung momentum itu apabila BN memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi.
Bagi Noraini, pencapaian tersebut bukan kemenangan biasa, sebaliknya gambaran bahawa keyakinan rakyat terhadap BN boleh dibina semula apabila parti bekerja dengan serius dan bersatu.
Katanya, Johor telah memberikan keyakinan, Negeri Sembilan memberikan momentum, manakala Melaka pula perlu memberikan isyarat seterusnya.
Tetapi sasaran yang lebih besar, katanya, bukan sekadar mencipta “Gelombang Biru”.
UMNO perlu mencipta “Gelombang Kepercayaan”.
Menang kerana dipercayai, bukan kerana lawan melakukan kesilapan
Noraini menegaskan Wanita UMNO tidak mahu parti itu menang hanya kerana rakyat marah kepada pihak lain atau kerana lawan melakukan kesilapan.
Sebaliknya, kemenangan mesti lahir kerana rakyat kembali percaya kepada UMNO.
Kepercayaan itu tidak boleh dipaksa, dibeli atau dituntut hanya berdasarkan jasa masa lalu.
“Jasa semalam memberikan kita sejarah. Kerja hari ini memberikan kita kepercayaan,” katanya.
Beliau menjelaskan Gelombang Kepercayaan bukan sekadar kempen meminta rakyat mempercayai UMNO, tetapi gerakan yang memberikan rakyat sebab untuk kembali percaya.
Kekuatan Wanita, katanya, terletak pada jaringan hubungan manusia yang tidak boleh dibina oleh algoritma.
Wanita berada dekat dengan keluarga, mendengar keresahan rakyat dan mengetahui perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat sebelum sesuatu isu menjadi angka dalam laporan.
“Di pasar, di surau dan di rumah rakyat”, kata beliau, Wanita sering menjadi antara kelompok terawal yang mendengar masalah masyarakat.
Atas sebab itu, Gelombang Kepercayaan mesti bermula daripada akar umbi Wanita UMNO.
UMNO perlu tegas dalam kerajaan tanpa kehilangan identiti
Dalam menghadapi landskap politik semasa, Noraini turut mengingatkan bahawa UMNO kini berada dalam kerajaan melalui kerjasama dengan parti-parti yang mempunyai sejarah, ideologi dan perjuangan berbeza.
Kerjasama itu, katanya, dibuat demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.
Namun, berada dalam kerajaan tidak bermakna UMNO perlu kehilangan suara atau identitinya.
Beliau menegaskan UMNO bukan “penumpang” dalam perjalanan politik negara, sebaliknya parti yang mempunyai sejarah panjang dalam membentuk hala tuju negara.
Atas dasar itu, Wanita UMNO menggariskan lima prinsip dalam menghadapi sebarang bentuk kerjasama politik:
- Jangan gadaikan asas perjuangan.
- Jangan gadaikan maruah parti.
- Jangan gadaikan kestabilan negara.
- Jangan pinggirkan masyarakat majmuk Malaysia.
- Jangan sekali-kali gadaikan suara akar umbi.
Menurut Noraini, UMNO boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, tetapi parti itu perlu tahu siapa dirinya.
Kerjasama tidak boleh menghakis identiti, manakala identiti pula tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak kerjasama.
“Sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO?”
Dalam nada tegas, Noraini turut mempertahankan identiti perjuangan UMNO yang berteraskan agama, bangsa dan tanah air.
Beliau mempersoalkan kecenderungan sesetengah pihak yang mahu UMNO meninggalkan identitinya atas nama kemajuan dan perubahan zaman.
Katanya, UMNO lahir daripada kesedaran orang Melayu untuk mempertahankan masa depan agama, bangsa dan tanah air dan identiti tersebut tidak akan dibuang semata-mata untuk mendapatkan tepukan.
Beliau turut menegaskan bahawa mempertahankan Islam, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu tidak boleh disamakan dengan politik kebencian.
UMNO, katanya, tidak perlu membenci kaum lain untuk membela orang Melayu atau menghina agama lain untuk mempertahankan Islam.
Sebaliknya, kekuatan orang Melayu harus menjadi sebahagian daripada kekuatan Malaysia secara keseluruhan.
“Mempertahankan akar tidak bermakna kita menolak perubahan,” katanya sambil menegaskan UMNO perlu teguh pada nilai, sederhana dalam pendekatan dan progresif dalam tindakan.
Rumah Bangsa: Buka pintu kepada yang pernah menjauh
Dalam usaha mengukuhkan semula parti, Noraini turut menyambut baik gagasan Rumah Bangsa yang dibawa Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, Rumah Bangsa perlu menjadi ruang untuk menyatukan kembali keluarga besar UMNO yang pernah terpisah akibat perjalanan politik.
Ia bukan tempat untuk mengulangi pertelingkahan lama, sebaliknya menjadi ruang menyembuhkan perpecahan dan membina semula kekuatan.
Rumah Bangsa, katanya, perlu cukup besar untuk menyatukan, cukup terbuka untuk menerima dan cukup kuat untuk membawa UMNO ke hadapan.
Laluan 30: Wanita mahu berada di meja membuat keputusan
Antara agenda paling penting yang diketengahkan Noraini ialah Laluan 30% Wanita UMNO, sebagai mekanisme lebih tersusun bagi memastikan bakat wanita dikenal pasti, dibangunkan dan dipersiapkan untuk menduduki posisi kepimpinan.
Beliau mengakui Wanita UMNO selama ini sering digelar sebagai “tulang belakang” parti kerana sentiasa berada di lapangan, mendekati pengundi, mengurus Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan menjaga kebajikan rakyat.
Namun persoalannya, jika Wanita benar-benar tulang belakang UMNO, mengapa suara mereka tidak sentiasa berada di hadapan ketika keputusan dibuat?
Noraini menegaskan Wanita tidak mahu hanya dipanggil apabila tenaga diperlukan.
Wanita juga mesti berada di meja pembentukan dasar dan bersama-sama menentukan arah perjuangan parti.
Beliau menolak pendekatan memberikan tempat kepada wanita semata-mata kerana mereka wanita.
Sebaliknya, calon wanita perlu hadir bersama kemampuan, integriti, rekod kerja dan keyakinan akar umbi.
Langkah pertama Laluan 30 ialah penubuhan Talent Bank atau Bank Bakat Wanita UMNO, dengan setiap negeri mengenal pasti wanita berpotensi untuk berkhidmat di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara, GLC serta kepimpinan masyarakat.
DELIMA perkukuh bakat kepimpinan wanita
Talent Bank sahaja tidak memadai kerana bakat yang dikenal pasti perlu dibangunkan.
Justeru, Noraini mahu Pusat Kecemerlangan Wanita @ DELIMA diperkukuh sebagai pusat pembangunan bakat Wanita UMNO.
Empat bidang utama akan diberi tumpuan:
- Kepimpinan dan politik;
- Kecerdasan buatan (AI), data dan digital;
- Komunikasi dan media;
- Ekonomi dan keusahawanan.
Pendekatan ini bertujuan memastikan wanita bukan sahaja menguasai politik, tetapi turut memahami teknologi dan AI, mampu membentuk naratif serta mempunyai kekuatan ekonomi.
Ekonomi wanita: Daripada bantuan kepada pemilikan
Noraini turut mengangkat isu ekonomi wanita sebagai agenda utama.
Katanya, ekonomi bukan sekadar angka kerana bagi wanita, kesannya dirasai di meja makan, kaunter pembayaran dan dalam dompet keluarga.
Antara cabaran yang dihadapi termasuk wanita yang terpaksa berhenti kerja kerana kos penjagaan anak, kesukaran kembali ke pasaran pekerjaan serta usahawan wanita yang berdepan masalah menembusi pasaran.
Justeru, beliau mahu pendekatan bantuan kepada wanita bergerak daripada sekadar membantu mereka bertahan kepada usaha membolehkan mereka menjana pendapatan dan menentukan masa depan keluarga.
Kemudahan penjagaan anak, pekerjaan anjal dan latihan semula perlu diperluas.
Bagi usahawan pula, pinjaman hanyalah permulaan. Mereka turut memerlukan akses pasaran, bimbingan, teknologi dan jaringan perniagaan.
Noraini turut menekankan kepentingan pemilikan aset seperti rumah, tanah, simpanan dan pegangan dalam perniagaan.
Dalam konteks itu, beliau mahu pelaksanaan PuTERA35 membuka peluang sebenar kepada wanita mendapatkan modal, memasuki pasaran baharu dan memiliki aset, selain memastikan pencapaian wanita dinilai dari tahun ke tahun, bukan hanya apabila tiba 2035.
Sahabat Nurani lindungi jiwa generasi muda
Satu lagi agenda baharu yang diketengahkan ialah Sahabat Nurani, yang akan memberi sokongan kepada generasi muda melalui pendekatan kesihatan mental, psikologi, pendidikan emosi dan dakwah.
Noraini melihat cabaran generasi hari ini jauh lebih kompleks apabila anak-anak bukan sahaja dibentuk oleh keluarga dan sekolah, tetapi turut terdedah kepada pengaruh algoritma.
Tekanan, buli siber, penipuan, pornografi, deepfake serta budaya perbandingan di media sosial menjadi antara cabaran yang perlu ditangani.
Beliau mahu Wanita UMNO memainkan peranan sebagai “Ibu Generasi”, bukan hanya memastikan anak-anak berjaya dari sudut akademik dan kerjaya, tetapi turut memastikan jiwa mereka terpelihara.
Sahabat Nurani akan menyediakan ruang untuk anak muda bercerita, didengar dan mendapatkan bantuan.
Skuad Sayang 3K bergerak daripada kebajikan kepada kesiapsiagaan
Dalam bidang khidmat masyarakat, Noraini mahu Wanita UMNO meningkatkan profesionalisme peranan mereka.
Penerimaan Skuad Sayang 3K dalam kerangka Civil Defence Auxiliary (CDA) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap kemampuan gerakan Wanita UMNO.
Perubahan itu membawa Skuad Sayang 3K daripada pendekatan kebajikan kepada kesiapsiagaan dan daripada sekadar membawa bantuan kepada memiliki kemahiran.
Noraini mahu setiap negeri dan seterusnya setiap bahagian mempunyai anggota Skuad Sayang 3K yang terlatih serta bersedia menghadapi keperluan rakyat ketika berlaku kecemasan atau bencana.
JR Digital dan PR10 bina jaringan kepercayaan
Noraini turut menegaskan bahawa politik moden tidak lagi bergerak hanya melalui dewan, bilik gerakan atau pentas ceramah.
Politik kini turut bergerak melalui telefon di tangan rakyat.
Atas kesedaran itu, JR Digital perlu diperkukuh sebagai sistem amaran awal yang menghubungkan telinga Wanita di akar umbi dengan kepimpinan yang mampu bertindak.
Maklumat yang diterima daripada negeri dan bahagian, katanya, tidak boleh sekadar berakhir dalam fail.
Jika masalah boleh diselesaikan, ia perlu diselesaikan. Jika dasar perlu diperbetulkan, ia perlu dibawa kepada kerajaan. Jika tuduhan tidak benar, ia perlu dijawab dengan fakta.
Dalam masa sama, lebih ramai jurucakap wanita perlu dilahirkan dengan penguasaan dasar, fakta dan keberanian mempertahankan parti.
Namun teknologi sahaja tidak mencukupi.
Justeru, PR10 akan menjadi jaringan kepercayaan Wanita UMNO di akar umbi dengan setiap anggota digerakkan untuk mengenali sekurang-kurangnya 10 orang di sekeliling mereka.
Bukan hanya mengenali ketika pilihan raya, tetapi mendengar masalah, memahami keluarga dan hadir lebih awal untuk membantu.
“Jangan hanya berdiri di belakang kemenangan”
Menjelang pilihan raya yang semakin hampir, Noraini mengingatkan bahawa masa tidak akan menunggu UMNO bersedia.
Melaka menjadi medan seterusnya sebelum pilihan raya umum boleh berlangsung pada bila-bila masa.
Namun pilihan raya akan datang, katanya, bukan sekadar menentukan sama ada UMNO masih mampu menang.
Ia akan menentukan sama ada UMNO berjaya menukar peluang menjadi kepercayaan dan kepercayaan menjadi kepimpinan.
Bendera dan poster, katanya, tidak membawa makna jika kehidupan rakyat tidak berubah.
Sebab itu, Gelombang Kepercayaan perlu menjadi arah yang menyatukan seluruh gerak kerja Wanita UMNO.
Rumah Bangsa membuka pintu kepada mereka yang mahu kembali. Laluan 30 dan Talent Bank membina barisan kepimpinan masa depan. Voices of HER memastikan suara wanita didengar.
Agenda ekonomi memperkukuh wanita dan keluarga, Sahabat Nurani menjaga jiwa generasi, manakala Skuad Sayang 3K membuktikan khidmat ketika rakyat memerlukan.
JR Digital pula membantu membaca keresahan lebih awal dan PR10 memastikan hubungan dengan rakyat terus dipelihara.
Kesemuanya, kata Noraini, mengalir ke satu muara – kepercayaan rakyat.
Wanita bukan lagi sekadar tulang belakang
Menutup ucapan dasarnya, Noraini menyeru seluruh jentera Wanita UMNO menggerakkan Gelombang Kepercayaan dari negeri ke bahagian hingga ke cawangan.
Beliau mahu Wanita bukan sekadar menunggu gelombang datang, tetapi menjadi pihak yang mencipta gelombang tersebut.
“Jangan hanya berdiri di belakang kemenangan. Marilah kita berdiri di hadapan perubahan,” tegasnya.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan setiap kali UMNO diuji, Wanitanya tetap berdiri.
Kini, katanya, tiba masa untuk membuktikan bahawa apabila masa depan UMNO perlu dibentuk, Wanita juga mampu memimpin.
“Jangan tunggu masa depan datang kepada kita. Kitalah yang mesti mara untuk membentuknya.”
Dan apabila halaman baharu sejarah UMNO dibuka, Noraini mahu catatan itu jelas — Wanita UMNO bukan sekadar menyaksikan perubahan.
Wanitanya bangkit. Wanitanya memimpin. Wanitanya menentukan masa depan.
Menang Kepercayaan. Pimpin Masa Depan.
