Malaysia Hot

Tempoh Pelepasan Kebankrapan Disasar Kurang 36 Hari Pada 2027 - Azalina




KUALA LUMPUR (26 Oktober) — Kerajaan menyasarkan untuk memendekkan lagi tempoh pemprosesan pelepasan kebankrapan kepada kurang daripada 36 hari pada tahun depan bagi mempercepat pemulihan kewangan individu yang layak mendapat peluang kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said berkata, inisiatif di bawah Program Pelepasan Pantas itu akan dilaksanakan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan kesinambungan program pelepasan pantas sedia ada yang membolehkan permohonan layak diproses dalam tempoh 36 hari, tertakluk kepada pematuhan syarat dan ketiadaan bantahan.

Azalina berkata, kerajaan turut memperkukuh usaha pemulihan menerusi Dasar Peluang Kedua yang merekodkan 253,457 pelepasan kebankrapan dari 2023 hingga September 2026.

“Usaha ini akan diteruskan melalui Program Pelepasan Pantas 2026 yang memberikan keutamaan kepada kumpulan tertentu, termasuk ibu atau bapa tunggal, peminjam dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mangsa penipuan serta pembeli rumah dalam projek perumahan terbengkalai.

“Langkah ini akan disokong dengan penambahbaikan proses kerja, peluasan perkhidmatan digital dan pengukuhan mekanisme pemulihan kewangan bagi membantu lebih ramai individu yang layak memperoleh peluang kedua,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) pada peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Azalina berkata, pendigitalan perkhidmatan MdI turut membolehkan permohonan pelepasan kebankrapan dikemukakan secara dalam talian melalui portal e-Insolvensi.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Barisan Nasional–Tampin) mengenai kewajaran seorang Ahli Parlimen meminta Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap individu tertentu, Azalina berkata, cadangan pemisahan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara merupakan antara langkah untuk mengelakkan persepsi campur tangan dalam proses pendakwaan.

Beliau berkata, mekanisme pelantikan Pendakwa Raya yang telah dibahaskan di Parlimen akan menjadikan proses berkenaan lebih telus, di samping memperkukuh semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.

“Apa yang kita tidak mahu ialah persepsi bahawa terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik sesuatu tindakan tertentu,” katanya.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال