
Pakatan Harapan sedang mempertontonkan satu percanggahan yang terlalu besar untuk disembunyikan. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan pengampunan, ia dianggap kemenangan keadilan. Apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan saluran perlembagaan yang sama, PH tiba-tiba menuntut individu yang disabitkan dalam kes rasuah atau salah guna kuasa berprofil tinggi menjalani keseluruhan hukuman mahkamah.
Sejak bilakah Perlembagaan Persekutuan berubah mengikut nama banduan?
Kedaulatan undang-undang tidak berakhir selepas hakim menjatuhkan hukuman. Sistem keadilan negara turut merangkumi rayuan, semakan, remisi dan pengampunan. Semua mekanisme itu lahir daripada undang-undang yang sama, bukannya jalan belakang yang diwujudkan untuk menyelamatkan individu tertentu.
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri untuk memberi ampun, tunda hukum atau lega hukum mengikut bidang kuasa masing-masing melalui tatacara Lembaga Pengampunan. Tiada banduan mempunyai hak automatik untuk dibebaskan, namun setiap banduan mempunyai ruang untuk memohon dan dipertimbangkan. Keputusan akhirnya bukan milik PH, DAP, PKR, UMNO atau mana-mana kumpulan pendesak.
Anwar menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018 selepas sabitan serta hukuman penjaranya dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 2015. Pengampunan tersebut membolehkannya kembali menyertai politik, bertanding dalam pilihan raya dan akhirnya menjadi Perdana Menteri. Anwar sendiri menyatakan rasa syukur atas pengampunan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Tiada pemimpin PH ketika itu menuntut Anwar menjalani keseluruhan hukuman. Tiada siapa dalam DAP atau PKR mendakwa pengampunan tersebut mencemarkan kebebasan badan kehakiman. Mereka memahami bahawa mahkamah menentukan sabitan dan hukuman, manakala kuasa pengampunan berfungsi sebagai satu lagi komponen sah dalam sistem perlembagaan.
Lim Kit Siang juga pernah menerima pengampunan diraja selepas disabitkan atas kesalahan pilihan raya pada 1969. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membebaskannya daripada hukuman. Pengampunan yang diperkenankan pada 5 Ogos 1969 membolehkan pemimpin DAP itu meneruskan kedudukannya sebagai wakil rakyat. Lim sendiri kemudiannya mengakui dan menyatakan rasa syukur atas pengampunan tersebut.
Rekod antara 2007 hingga 2017 memperlihatkan sebanyak 165 pesalah dibebaskan daripada hukuman mati melalui pertimbangan Lembaga-Lembaga Pengampunan. Pecahannya ialah 12 orang pada 2007, sembilan pada 2008, enam pada 2009, sembilan pada 2010, 14 pada 2011, 25 pada 2012, 16 pada 2013, 20 pada 2014, 13 pada 2015, 25 pada 2016 dan 16 pada 2017. Angka ini bukan bermaksud kesemua pesalah dibebaskan terus daripada penjara, sebaliknya hukuman mati mereka diringankan melalui kuasa pengampunan selepas setiap kes diteliti berdasarkan merit, kelakuan banduan dan faktor kemanusiaan.
Tempoh tersebut merentasi pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain melibatkan kuasa Sultan-Sultan di negeri masing-masing. Tradisi ini menunjukkan bahawa pengampunan bukan ciptaan untuk Najib, sebaliknya sebahagian daripada sistem keadilan dan ihsan yang telah lama diamalkan negara.
Kes Kenneth Lee Fook Mun, cucu kepada bekas Menteri Kewangan Tun H.S. Lee, memberikan satu lagi gambaran penting. Kenneth terlibat dalam insiden tembakan pada Ogos 2000 yang mengorbankan seorang akauntan, Linda Lee Good Yew, dalam kejadian di Kuala Lumpur. Mahkamah Rayuan mensabitkannya atas kesalahan membunuh pada 2005 dan menjatuhkan hukuman mati, sebelum keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan.
Pada 2008, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan pertama dengan meringankan hukuman mati Kenneth kepada penjara seumur hidup. Berdasarkan rekod kes yang dirujuk dalam poster, satu lagi perintah pengampunan kemudiannya dikeluarkan selepas ibunya meninggal dunia dan bapanya berada dalam keadaan sakit sehingga membolehkannya menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah. Kes tersebut menunjukkan bahawa pengampunan diraja pernah melibatkan pengurangan hukuman bagi kes bunuh dan mekanisme tahanan rumah, bukannya konsep yang hanya muncul apabila dikaitkan dengan Najib.
Kes Dr Malik Yatam pula membuktikan bagaimana pengampunan boleh menjadi jambatan antara hukuman, pemulihan dan peluang kedua. Malik terlibat dalam kes bunuh pada 2000 ketika berusia 14 tahun. Disebabkan masih di bawah umur, beliau tidak dijatuhi hukuman mati, sebaliknya dikenakan Tahanan Limpah Sultan tanpa tarikh pembebasan dan mula menjalani hukuman pada 2001.
Sepanjang 24 tahun dipenjarakan, Malik tidak berputus asa. Beliau meneruskan pendidikan, memperoleh ijazah, sarjana dan akhirnya PhD dalam Pentadbiran Perniagaan melalui Open University Malaysia. Kesnya dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan untuk dipertimbangkan pada November 2024 sebelum Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memperkenankan pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda. Malik dibebaskan pada 11 Disember 2024.
Pada Februari 2026, Sultan Selangor berkenan menerima Malik menghadap dalam pertemuan pertama Baginda dengan bekas banduan yang pernah diberikan pengampunan. Malik keluar daripada penjara bukan sekadar sebagai seorang yang bebas, tetapi sebagai pemegang PhD dan contoh bahawa sistem keadilan turut menyediakan ruang untuk keinsafan, pendidikan serta pemulihan manusia.
Pengampunan tidak bermaksud mahkamah tersilap menghukum. Ia juga tidak memadamkan kesalahan atau menjadikan seseorang secara automatik tidak bersalah. Pengampunan ialah kuasa perlembagaan yang membolehkan sesuatu kes dinilai melangkaui keputusan penghukuman semata-mata dengan mengambil kira keinsafan, pemulihan, kemanusiaan dan kepentingan negara.
Seruan PH supaya Najib mesti menjalani keseluruhan hukuman sebelum proses pengampunan selesai memberi gambaran bahawa keputusan mahu ditentukan lebih awal oleh sebuah parti politik. Jika PH benar-benar menghormati institusi diraja, biarkan Lembaga Pengampunan dan pihak berkuasa pengampunan menjalankan tanggungjawab tanpa tekanan berselindung di sebalik slogan antirasuah.
Najib tidak menuntut pembebasan automatik. Beliau hanya memohon agar kesnya dipertimbangkan melalui pintu perlembagaan yang pernah dilalui Anwar, Lim Kit Siang, pesalah hukuman mati, Kenneth Lee dan Dr Malik.
Keadilan yang berubah mengikut nama bukan lagi keadilan. Perlembagaan yang dibaca secara luas untuk kawan tetapi disempitkan untuk lawan hanyalah alat politik.
Jangan raikan Perkara 42 ketika ia menyelamatkan pemimpin sendiri, kemudian cuba menutupnya apabila tiba giliran Najib.
