Malaysia Hot

Azalina: Isu Penamatan 10 Exco Negeri Sembilan Dijawab Ketika Penggulungan


KUALA LUMPUR — Kerajaan akan memberikan penjelasan mengenai isu penamatan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato' Sri Azalina Othman Said, berkata perbahasan masih berlangsung dan perkara yang dibangkitkan akan dijawab oleh kementerian berkaitan apabila tiba giliran masing-masing menggulung perbahasan.

Menurut beliau, pelbagai pandangan telah dikemukakan sepanjang perbahasan, termasuk mengenai perkembangan di Negeri Sembilan yang mencetuskan pertikaian tentang asas perundangan penamatan perkhidmatan barisan Exco berkenaan.

“Itu perbahasan. Perbahasan tidak habis lagi, banyak orang cakap macam-macam.

“Nanti apabila penggulungan, mana-mana kementerian yang relevan akan menggulung perbahasan,” katanya pada sidang media Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Lembah Pantai, pada 20 Oktober 2026.

Kenyataan Azalina itu menyusul gesaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, supaya kerajaan menjelaskan asas Perlembagaan yang digunakan dalam tindakan menamatkan perkhidmatan 10 Exco Negeri Sembilan pada September lalu.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 19 Oktober, Takiyuddin membangkitkan Perkara 71(1) dan Perkara 71(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung jaminan Persekutuan terhadap perlembagaan negeri.

Setiausaha Agung PAS itu mendakwa tindakan berkenaan bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), khususnya berhubung pematuhan kepada Perkara 38(5).

Beliau berhujah bahawa pembatalan pelantikan anggota Exco selain Menteri Besar oleh Yang di-Pertuan Besar memerlukan nasihat Menteri Besar. Berdasarkan maklumat yang diterimanya, Takiyuddin mendakwa nasihat sedemikian tidak diberikan bagi penamatan perkhidmatan 10 Exco terbabit.

Persoalan mengenai nasihat Menteri Besar turut menjadi asas pendirian Datuk Ismail Lasim dalam kenyataannya pada 21 September 2026.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung penamatan perkhidmatan mana-mana anggota Exco berkenaan.

Menurut Ismail, Perkara 38(5) UUTKNS perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1), dengan mengambil kira peranan nasihat dalam pelaksanaan fungsi pentadbiran negeri.

Atas tafsiran tersebut, beliau berpandangan bahawa tindakan menamatkan keahlian Exco tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar merupakan kekhilafan perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال