Malaysia Hot

PRN Melaka: Jailani Sedia Tidak Bertanding


Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, menegaskan beliau bersedia tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya itu keputusan kepimpinan PAS, termasuk tidak dicalonkan di mana-mana kerusi.

Setiausaha PAS Melaka itu menyerahkan sepenuhnya soal pencalonannya kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, serta kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.

Beliau turut menegaskan tidak berasa sakit hati, kecewa atau terkilan meskipun Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan calon baharu bagi Rembia, kawasan yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

“Rasa sakit hati, kesal, tidak ada. Rasa ‘frust’ ataupun putus asa, tidak ada.

“Apa sahaja arahan dan keputusan Yang Berhormat Tuan Guru Presiden serta kepimpinan Pas negeri dan pusat, sekiranya mereka mengarahkan saya tidak bertanding sama sekali di mana-mana DUN termasuk Rembia, saya akan taat,” katanya.

Jailani memenangi kerusi Rembia atas tiket BN pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti lebih 800 undi sebelum menyertai PAS. Bagi pilihan raya kali ini, BN mempertaruhkan muka baharu, Ahmad Norazril Abdul Aziz, di kawasan berkenaan.

“Pertama kali dalam hidup saya, saya meletakkan qada dan qadar ini lebih tinggi daripada apa yang saya rasa.

“Jadi perasaan kepentingan diri, kepentingan apa yang saya dapat, seharusnya saya diberi ini, tidak wujud,” jelasnya.

Pendirian itu turut disertai pesanan kepada penyokongnya supaya tidak bertindak mengikut emosi. Beliau meminta mereka menerima apa jua keputusan yang bakal diumumkan PAS berhubung pencalonan.

Kenyataan Jailani dibuat menjelang pengumuman senarai calon PN yang dijadualkan pada malam 29 Oktober, bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16 pada 14 November.

Perkembangan itu menyusuli pengesahan BN bahawa perjanjian persefahaman politik dengan PN telah dimeterai di Menara Dato Onn pada malam sebelumnya.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, perjanjian berkenaan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Mesyuarat itu turut bersetuju supaya BN dan PN melancarkan manifesto pilihan raya bersama.

BN meletakkan 21 calon, manakala tujuh kerusi lagi diperuntukkan kepada PAS dan rakan kerjasamanya.

Bagi Jailani, kemungkinan dicalonkan di kawasan lain juga diserahkan kepada kepimpinan parti. Beliau kekal terbuka terhadap penempatan di kerusi lain, sambil menyatakan kesediaan menerima arahan untuk tidak bertanding langsung.
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال