Malaysia Hot

Sabah, Sarawak Jadi Mangsa Korban Pembatalan Projek Kerajaan MADANI?


Ketika penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak masih menantikan kemudahan jalan raya yang lebih sempurna, keputusan Kerajaan MADANI menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar mencetuskan persoalan mengenai nasib pembangunan yang telah diluluskan tetapi belum dilaksanakan.

Hari ini di parlimen, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion bagi pelaksanaan Program Jalan Luar Bandar (JALB) sepanjang 2023 hingga 2025.

Rakyat tidak seharusnya dibiarkan meneka nasib projek pembangunan yang telah mendapat kelulusan atau melalui proses tender.

Terdapat projek sudah diluluskan, sebahagiannya sudah ditender, kini SST baharu pula ditangguhkan. Persoalan yang masih menunggu jawapan ialah bila rakyat Sabah dan Sarawak akhirnya dapat menikmati pembangunan yang dirancang untuk mereka?

Paling mengejutkan, Zahid juga menyatakan di dalam dewan parlimen hari ini, "Saya bersimpati dengan rakan-rakan dari Sarawak dan Sabah berhubung perkara yang berlaku baru-baru ini. Terdapat projek tahun 2026 yang telah diarahkan untuk dibatalkan, sedangkan dana bagi pelaksanaannya tidak disalurkan. Perkara ini saya nyatakan dengan tegas.

Akhirnya, yang menjadi mangsa ialah Sabah dan Sarawak, begitu juga masyarakat kampung di tempat lain. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

Saya memohon maaf kerana terpaksa berterus terang mengenai perkara ini. Pada pandangan saya, apabila sesuatu projek telah diumumkan, projek itu mesti dilaksanakan. Jangan pula melaksanakan projek yang tidak diumumkan.

Keadaan ini menimbulkan masalah kepada banyak kementerian, bukan hanya kementerian saya. Saya tidak menyentuh mana-mana pihak secara khusus dalam perkara ini. Apa yang penting ialah kita mengelakkan perkara seperti ini daripada terus berlaku".



Previous Post Next Post

نموذج الاتصال