Pada pendengaran pertama, ungkapan itu membawa gambaran kecekapan luar biasa. Masalah yang dikatakan berlarutan tujuh tahun seolah-olah dapat diselesaikan dalam sehari dua. Bersorak sakan ceplos di ruang maya seolah seorang adiwira telah muncul setelah sekian lama ditunggu. Riuh rendah dalam media sosial tetapi ianya tidak lama.
Menurut penjelasan yang dilaporkan, Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat mempunyai tunggakan cukai sekitar RM400,000 dan telah melunaskan sebahagian besarnya. Baki yang dimaklumkan ialah RM10,000, manakala penalti RM70,000 menjadi beban tambahan.
Perbezaan antara tunggakan cukai dengan penalti itu penting. Usaha persatuan melunaskan cukainya perlu diiktiraf kerana ianya dari titik peluh mereka selama ini. Dakwaan mendapatkan penghapusan penalti pula perlu dinilai melalui keputusan yang benar-benar diluluskan dan dilaksanakan dan bukannya lakonan calon pilihanraya.
Calon PH daripada AMANAH bagi DUN Kuala Linggi, membawa perkara itu kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, sebelum mendapatkan perhatian Perdana Menteri. Beliau kemudian mendakwa penalti tersebut mendapat kelulusan untuk diselesaikan selepas memperoleh tandatangan Anwar.
Bagaimanapun, perkongsian beliau sendiri turut menyebut tandatangan itu bagi tindakan susulan. Maka, ahli persatuan bertanya sama ada penghapusan penalti sudah dimuktamadkan atau permohonan tersebut baru mendapat perhatian untuk diproses.
Jika penalti RM70,000 itu benar-benar telah dihapuskan, kemukakan pengesahan rasmi dan surat keputusan yang menjelaskan kedudukan liabiliti persatuan. Tandatangan pada surat permohonan, tanpa penjelasan tentang keputusan dan pelaksanaannya, belum memadai untuk membuktikan bahawa keseluruhan urusan telah selesai.
Jangan sampai cerita kecekapan dua hari bertukar menjadi sandiwara apabila dakwaan penyelesaian diumumkan lebih awal daripada bukti yang dapat dikemukakan.
Frasa tujuh tahun yang dibanggakan itu juga mendedahkan rekod buruk pentadbiran terdahulu. Tempoh tersebut merentas beberapa kerajaan, termasuk ketika Melaka dipimpin Ketua Menteri daripada AMANAH, termasuk sepanjang pentadbiran Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Apakah tindakan yang telah diusahakan sepanjang tempoh itu? Apakah halangan yang menyebabkan beban tersebut berpanjangan dan mengapa penyelesaiannya kini digambarkan begitu mudah ketika pilihan raya semakin hampir? Pemimpin gabungan yang sama juga wajar memberikan penjelasan.
Rakyat berhak menolak politik kartun, ‘sendiri buat, sendiri selesai’. Setiap pengumuman bantuan mesti dinilai melalui hasil sebenar, dengan penjelasan tentang apa yang telah berubah dan bila manfaat itu mula diterima.
Bagi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat, perkara yang perlu dipastikan ialah kedudukan sebenar penalti RM70,000 itu.
Bukti penyelesaian ialah pengesahan rasmi bahawa beban berkenaan telah dihapuskan, termasuk keputusan LHDN yang berkaitan. Sehingga pengesahan itu dikemukakan, tandatangan PMX pada surat permohonan tidak boleh dijadikan bukti bahawa semuanya telah selesai.
Persatuan memerlukan kepastian tentang liabilitinya. Rakyat pula berhak melihat bukti sebelum diminta percaya.

