Malaysia Hot

Bagai Mencurah Air Ke Daun Keladi: Dari 2018 Sultan Selangor Tegur Isu Banjir, Hingga 2026 Masih Berulang!

Saya cuba semak semula laporan-laporan berita lama mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung masalah banjir di negeri tersebut.

Rupa-rupanya, seawal tahun 2018 lagi baginda sudah menyuarakan kebimbangan terhadap kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di Selangor.

Lapan tahun kemudian, masalah yang sama masih dibangkitkan oleh baginda.

Pada 30 Oktober 2018, ketika menghadiri sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor, Sultan Sharafuddin menyuarakan keprihatinan baginda mengenai masalah banjir kilat kepada Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor.

Baginda turut membangkitkan kejadian banjir kilat di sekitar Stadium Shah Alam yang berlaku beberapa hari sebelumnya, menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak.

Ketika itu, pihak jabatan memaklumkan bahawa perbincangan akan diadakan bersama agensi berkaitan bagi mencari langkah mitigasi yang sesuai.

Tiga tahun kemudian, Selangor dilanda banjir besar pada Disember 2021 yang menyaksikan kawasan seperti Taman Sri Muda ditenggelami air.

Pada 19 Disember 2021, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap keadaan mangsa banjir. Baginda menggesa pihak berkuasa mempercepatkan bantuan serta mengemas kini pelan tindakan bencana supaya tindak balas dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.

Masuk 14 Mac 2022, baginda sekali lagi menitahkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian lebih serius terhadap masalah banjir.

Baginda turut mengingatkan bahawa Selangor pernah mengalami banjir besar pada tahun 1971. Pengalaman tersebut sepatutnya sudah cukup untuk dijadikan pengajaran dalam menyediakan pelan tindakan menghadapi bencana.

Sultan Sharafuddin turut meminta kerajaan negeri mendapatkan khidmat pakar dan menggunakan teknologi baharu termasuk dari luar negara bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

Setahun kemudian, pada 21 Ogos 2023, baginda membangkitkan masalah sama ketika pelantikan barisan Exco kerajaan negeri.

Baginda mahu rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang segera dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir.

Sultan Sharafuddin turut mempersoalkan apa gunanya Selangor berbangga sebagai negeri kaya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia sekiranya masalah keperluan asas rakyat masih tidak mampu diuruskan dengan baik.

Pada 27 Februari 2024 pula, baginda menegur kerenah birokrasi dan kelewatan pelaksanaan projek kerajaan termasuk projek tebatan banjir.
Kemudian, pada 5 Disember tahun yang sama, teguran baginda menjadi semakin tegas.

Ketika merasmikan Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kesal kerana masalah banjir masih berlaku walaupun kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sudah berkali-kali diingatkan.

Baginda turut mempersoalkan penggunaan alasan perubahan iklim, hujan luar biasa atau Act of God bagi menjelaskan kejadian banjir yang berulang.

Malah, baginda menyifatkan peringatan yang diberikan selama ini seperti mencurah air ke daun keladi.

Baginda juga menggesa kerajaan negeri supaya menggantikan kontraktor yang gagal melaksanakan projek dengan pihak yang lebih berwibawa.

Pada 29 Disember 2025 pula, menerusi perutusan sempena Tahun Baharu 2026, Sultan Sharafuddin sekali lagi mengingatkan pemimpin supaya memberikan tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Kali ini, baginda mahukan sasaran yang lebih jelas dalam menangani masalah banjir iaitu zero flood.

Baginda menggesa kerajaan mendapatkan kepakaran terbaik, memanfaatkan teknologi dan memastikan perancangan jangka panjang benar-benar dilaksanakan.

Akhirnya, pada 20 April 2026, Sultan Sharafuddin sekali lagi menzahirkan dukacita ketika menyampaikan titah sempena pembukaan persidangan Dewan Negeri Selangor.

Baginda mempersoalkan keberkesanan peruntukan tahunan untuk mengatasi banjir kerana masalah tersebut masih berlaku di beberapa kawasan perumahan.

Apa yang menarik, baginda sekali lagi menggunakan perumpamaan mencurah air ke daun keladi, sama seperti yang pernah disebut pada Disember 2024.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa baginda sudah mencadangkan kerajaan negeri mendapatkan pandangan pakar dari Belanda, sebuah negara yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan banjir.

Susulan teguran tersebut, Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa kerajaan negeri sudah berhubung dengan pihak dari Belanda dan sedang mengusahakan kerjasama bagi menangani masalah berkenaan.

Sekarang kita berada pada 4 November 2026.

Sejak beberapa hari lalu, hujan lebat kembali menyebabkan banjir di beberapa kawasan Selangor. Pada 2 November, lebih 500 rumah dilaporkan terjejas di sekitar Sungai Buloh khususnya Kampung Melayu Subang.

Pagi tadi pula, banjir kilat menyebabkan beberapa laluan utama ditutup termasuk Lebuhraya NKVE, ELITE dan GCE.

Di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, keadaan menjadi lebih buruk apabila sebuah jambatan di Jalan Kubu Gajah yang menghubungkan kawasan tersebut dengan Paya Jaras Hilir runtuh sekitar pukul 2 pagi.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling, hujan lebat menyebabkan arus Sungai Subang menjadi deras sehingga menghakis tebing sungai dan menjejaskan kestabilan struktur jambatan berkenaan.

Bacaan hujan sebanyak 48 milimeter turut direkodkan di Stesen Paya Jaras Hilir. Akibat kejadian itu, laluan utama tersebut terputus sepenuhnya dan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan.

JKR memaklumkan sebuah jambatan sementara jenis Bailey akan dipasang bagi memulihkan hubungan jalan raya sementara menunggu jambatan kekal dibina.

Sementara itu, penduduk di Taman Saujana Aman, Sungai Buloh turut dilaporkan terpaksa dipindahkan susulan kejadian banjir.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan stesen pemantauan Saujana Aman merekodkan paras air 8.55 meter pada pukul 9 pagi tadi, melebihi paras bahaya 7.5 meter.

Maknanya, air sudah melepasi paras bahaya sebanyak 1.05 meter ketika bacaan tersebut direkodkan.

Memang ada projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Sebahagiannya pula mengambil masa bertahun-tahun sebelum dapat disiapkan.

Tetapi apabila melihat semula titah Sultan Sharafuddin sehingga 2026, kita boleh nampak betapa lamanya isu ini sudah dibangkitkan.

Daripada meminta perancangan yang lebih serius, menggesa tindakan segera, menolak alasan hujan luar biasa sehinggalah mencadangkan kepakaran luar negara, semuanya sudah disentuh oleh baginda.

Dan sepanjang tempoh tersebut, penduduk di beberapa kawasan Selangor masih berhadapan dengan kejadian banjir berulang.

Persoalannya sekarang, sejauh mana teguran Sultan Selangor selama ini benar-benar diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang dapat dirasai penduduk?
- Selangor Royal Office
Previous Post Next Post

نموذج الاتصال