LONDON: Seorang maut manakala puluhan lagi cedera, termasuk 11 cedera parah selepas dua kereta api penumpang bertembung berhampiran Bedford, kira-kira 100 kilometer (km) di utara London, kata pihak berkuasa United Kingdom (UK).
Menurut East Midlands Railway (EMR), tragedi yang berlaku pada lewat petang itu membabitkan dua kereta api menuju ke London yang berada di landasan yang sama.
Jurucakap EMR mengesahkan kedua-dua kereta api miliknya itu dalam perjalanan ke selatan menuju ke Stesen London St Pancras, dengan sebuah lagi berlepas dari Corby manakala satu lagi dari Nottingham, kedua-duanya di tengah England.
"Perkhidmatan tren EMR tidak dapat beroperasi masuk atau keluar dari London St Pancras untuk baki petang ini," menurut kenyataan itu.
"Pada satu ketika saya tercampak ke kerusi di hadapan, kemudian saya nampak asap. Orang ramai menangis, menjerit, semuanya begitu takut dan mengelirukan.
Knapp turut memuat naik gambar dan video di platform media sosial Bluesky, memaklumkan beliau berada di gerabak hadapan salah sebuah kereta api dan masih dalam keadaan terkejut selepas kejadian.
"Saya tidak apa-apa walaupun kaki berdarah dan belakang saya terhentak tapi yang lain tidak begitu baik," katanya.
Seorang lagi penumpang, Teresa Itabor memberitahu BBC bahawa berlaku 'dentuman kuat' sebelum kepalanya terhantuk pada kerusi di hadapan.
"Saya buka mata dan ketika itu saya nampak orang terbaring di lantai dengan darah di merata-rata," katanya.
Dalam kemas kini hampir lima jam selepas kejadian, Perkhidmatan Ambulans Timur England mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala 11 lagi mengalami kecederaan sangat parah, 22 cedera parah dan 56 lagi mengalami kecederaan ringan.
Mangsa yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di lokasi kejadian atau dibawa ke hospital jika diperlukan.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, menyifatkan kejadian itu sebagai 'amat membimbangkan' dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mereka yang cedera.
Sumber.
Tags
Berita

